Di Terengganu, seorang pesara syarikat swasta kerugian RM142,300 setelah terpedaya dengan iklan jualan kereta pajero murah di Facebook Marketplace.

Pesara tersebut ditipu ketika berurusan untuk membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda melalui media sosial.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, lelaki berusia 55 tahun itu tertarik dengan iklan jualan kenderaan jenis Mitsubishi Pajero di Facebook yang kononnya dilelong pihak bank dengan harga RM28,000 pada 13 Mei lepas.

Pesara tersebut kemudian menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp kerana merasakan bahawa harga pajero itu sangat murah.

Mangsa membuat dua kali pindahan wang bagi tujuan deposit berjumlah RM6,450 serta pindahan ketiga bagi tujuan insurans sebanyak RM4,850 pada hari sama.

Dipetik dari sumber BERNAMA, Datuk Mohd Khairi berkata: “Mangsa juga diminta membuat pembayaran bagi pelepasan pihak kastam dan lelaki itu melakukan 26 kali pindahan wang yang keseluruhan berjumlah RM131,000.”

Pesara Rugi RM142,300 Kena 'Scam' Nak Beli Pajero Murah
Sumber Gambar: The Borneo Post

Mangsa juga dijanjikan bahawa wang yang telah dibayarnya menggunakan wang simpanan persaraan akan dipulangkan semula setelah urusan jual beli kenderaan tersebut selesai.

Mangsa kemudian menyedari bahawa dia baru sahaja terperangkap dengan penipuan online dan kena scam. Dan dia membuat laporan polis pada Khamis setelah suspek terus mendesak mangsa membuat beberapa lagi pembayaran.

Khairi dalam pada itu mengingatkan orang ramai yang merasakan diperdaya dengan modus operandi penipuan boleh segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997.