Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu episod sama berulang pada pertemuan keempat Piala AFC 2023/24 bertemu Hai Phong.

Bakal melayani kunjungan wakil Vietnam itu pada malam ini, Kim Swee enggan melihat anak buahnya melakukan kesilapan dengan melepaskan gol awal yang mampu memberikan masalah buat skuad kendaliannya itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Dalam aksi yang berlangsung di Lach Tray Stadium tempoh hari, Sabah dibolosi seawal minit ke-14 dan 18 hasil jaringan  Nguyen Huu Son serta Dam Tien Dung.

Ramon Machado berjaya merapatkan jurang pada minit ke-71 tetapi Dung Dam kembali memberikan kelebihan dua gol menerusi jaringan berselang seminit kemudian.

Pemain gantian, Gary Steven Robbat meledakkan gol daripada luar kawasan penalti pada lewat permainan, namun ia masih belum cukup untuk menghalang kekalahan pertama Sabah dalam saingan tersebut.

Sehubungan dengan itu, Kim Swee mahu para pemainnya berwaspada dan tidak leka dengan melakukan kesilapan mudah pada perlawanan di Stadium Likas tersebut.

“Kita tidak mahu dibolosi awal seperti perlawanan sebelum ini dan kita jadikannya pengajaran,” ujar Ong Kim Swee menurut sumber laporan Bernama.

“Pastikan kekal fokus sehingga wisel penamat. Kita mahu menang esok dan layak secara automatik ke pusingan seterusnya.”

Selepas mengharungi tiga perlawanan dalam kumpulan H, Sabah menghuni tangga kedua dengan enam mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan.

Skuad Sang Badak itu hanya kekurangan perbezaan jaringan berbanding Hai Phong yang berada ditangga teratas pada ketika ini.

Sumber