Malaysia mendapat tonik berguna dalam aksi kedua saingan Piala ASEAN Bawah 23 Tahun (B-23) selepas membelasah Brunei 6-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.
Kemenangan itu dilihat mampu meningkatkan moral pemain negara selepas kecundang 0-2 di tangan Filipina pada aksi pembukaan tempoh hari.
Pengendali skuad negara, Nafuzi Zain membuat lima pertukaran pada barisan kesebelasan utamanya dengan merehatkan Fergus Tierney, Aliff Izwan Yuslan, Muhammad Abu Khalil, Farish Danish dan Aiman Hakimi.
Skuad Harimau Muda tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Muhammad Danish Syamer menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Muhammad Aiman Yusuf pada minit ketiga.
Seminit kemudian kem negara sekali lagi melonjak kegembiraan selepas hantaran lintang Shafizan Arshan membias terkena pertahanan Brunei untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Penguasaan penuh ditampilkan skuad negara menyaksikan jaringan ketiga terhasil menerusi Mohammad Haykal Danish Haizon pada minit ke-32 selepas menerima hantaran Haqimi Azim Rosli.
Haqimi yang terlepas dua peluang terbaik akhirnya berjaya membolosi gawang Brunei selepas penyerang tersebut menyudahkan gerakan ‘satu-dua’ bersama Danish Syamer pada minit ke-43.
Memasuki babak kedua, Malaysia meneruskan penguasaan dengan menghasilkan jaringan kelima menerusi Danish Hakimi hasil satu gerakan berpasukan yang cantik pada minit ke-67.
Meskipun tidak begitu diberikan ancaman, gawang skuad negara bocor pada minit ke-74 apabila Muhammad Haziq Naqiuddin melakukan percubaan dalam kawasan penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol, Zulhilmi Sharani.
Tidak menunggu lama, Fergus Tierney menambah jaringan keenam berselang dua minit kemudian dan Haqimi menamatkan pesta jaringan kem negara menerusi gol yang diledakkannya pada minit ke-89 untuk memastikan kemenangan 7-1 buat Malaysia.
Skuad negara akan berdepan tugas berat pada aksi terakhir peringkat kumpulan apabila bakal bertemu Indonesia pada 21 Julai nanti.