Malaysia gagal mara ke separuh akhir Piala ASEAN Bawah 23 Tahun (B-23) 2025 selepas terikat tanpa jaringan pada aksi terakhir kumpulan A bertemu Indonesia yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Kegagalan itu sudah pastinya disebabkan kekalahan 0-2 skuad negara ditangan Filipina pada aksi pembukaan tempoh hari.

Baca Juga:

Beraksi dihadapan puluhan ribu penyokong setia tuan, anak-anak buah Nafuzi Zain bagaimanapun berjaya mengekang tekanan dan bertahan dengan baik sepanjang perlawanan.

Namun, dua jaringan yang diharapkan juga tidak mampu dijelmakan jentera serangan skuad muda negara.

Malaysia Terpaksa Pulang Awal

Indonesia yang lebih mendominasi permainan mendapat peluang pada minit ke-16 apabila lontaran jauh Robi Darwis dikeluarkan dari kawasan bahaya dan beri ruang Muhammad Rayhan Hanna melakukan percubaan separa voli dari jauh.

Penjaga gol negara, Zulhilmi Sharani tidak berdepan masalah untuk menangkap kemas percubaan pemain tengah tersebut.

Indonesia sekali lagi lagi mengkucar-kacirkan jentera pertahanan skuad negara selepas Rayhan menerima lorongan baik Victor Benjamin Dethan tetapi tolakannya hanya singgah di tepi jaring pintu gol Malaysia pada minit ke-27.

Lontaran jauh Darwis jelas menjadi aset penting buat Indonesia dan ia hampir membuahkan hasil pada masa kecederaan babak pertama.

Namun, Dony Tri Pamungkas yang tidak dikawal pertahanan melakukan percubaan meliar dalam kawasan penalti Malaysia.

Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-53 apabila sepakan percuma Muhammad Aliff Izwan Yuslan terus menuju ke gawang Indonesia tetapi ditepis keluar penjaga gol, Cahya Supriadi.

Lima minit kemudian, Indonesia pula mencipta peluang keemasan, namun percubaan jarak dekat Jens Raven diselamatkan Zulhilmi.

Keputusan tanpa jaringan itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan kemaraan Indonesia ke separuh akhir selaku juara kumpulan.

Manakala Filipina pula masih perlu menunggu keputusan aksi di kumpulan B dan C kerana hanya pasukan tempat kedua terbaik daripada ketiga-tiga kumpulan dalam saingan ini akan ke separuh akhir.