Malaysia menerima tamparan hebat seawal perlawanan pertama dalam Piala ASEAN B-23 2025 selepas tewas 0-2 kepada Filipina pada aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta sebentar tadi.

Ketika dilihat mampu untuk meraih kemenangan, anak buah Nafuzi Zain itu bagaimanapun terpaksa menelan kepahitan hasil dua jaringan pada babak pertama.

Permulaan Kurang Baik Dalam Piala ASEAN B-23

Malaysia bermula baik apabila lebih mengawal permainan dan mengasak kubu lawan, namun penjaga gol Filipina, Nicholas Guimares cukup kental bertahan.

Skuad negara mendapat peluang seawal minit ketujuh permainan, tetapi rembatan padu Muhammad Aliff Izwan Yuslan dinafikan Guimares.

Malaysia tersentak dua minit kemudian setelah gerakan balas pantas hasil satu hantaran jauh memberikan ruang buat Javier Alessandro Mariona untuk melakukan hantaran lintang yang disudahkan dengan kuisan masuk Otu Abang Banatao untuk Filipina berada dihadapan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, barisan pemain Malaysia cuba untuk bangkit dengan memperkemaskan aksi mereka.

Ia hampir membuahkan hasil pada minit ke-20 apabila percubaan dari luar kawasan penalti oleh Haqimi Azim Rosli sudah menewaskan Guimares tetapi bola sekadar singgah di palang gol.

Percubaan susulan yang dilakukan Aliff Izwan pula diselamatkan dengan baik penjaga gol tersebut.

Malaysia berjaya membolosi gawang Filipina pada minit ke-29, namun gol tersebut dibatalkan kerana Fergus Tierney dikesan terlebih dahulu mengasari Guimares dalam perebutan bola udara.

Ketika Malaysia ghairah mengatur gerakan, Filipina sekali lagi mengambil kesempatan hasil serangan balas pantas untuk menambah jaringan kedua menerusi Banatao ketika aksi memasuki minit ke-40.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan walaupun Malaysia memiliki peluang keemasan pada minit ke-61 hasil percubaan jarak dekat Tierney yang masih lagi mampu digagalkan GuimaresĀ  serta percubaan Nabil Qayum pada lewat permainan pula singgah di palang gol.

Keadaan sama yang turut dihadapi Filipina selepas percubaan Jared Pena turut hanya terkena palang gol.

Dengan kekalahan dialami, skuad negara perlu menang pada baki dua perlawanan selepas ini bertemu Brunei dan Indonesia sekiranya mahu ke separuh akhir Piala ASEAN B-23 2025.