Ketua jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu mengambil tanggungjawab penuh di atas bahunya sendiri berikutan kegagalan skuad Samurai Biru mara ke separuh akhir Piala Asia 2023.

Juara empat kali yang merupakan pasukan ranking pertama Asia itu tersingkir daripada persaingan ke separuh akhir selepas tewas 1-2 ditangan Iran, malam tadi.

Baca Juga:

Mendahului pada minit ke-28 menerusi Hidemasa Morita, Jepun bagaimanapun tidak mampu mempertahankan kelebihan tersebut apabila Mohammad Morebi membolosi gawang yang dikawal Zion Suzuki ketika perlawanan memasuki minit ke-55.

Kekasaran dilakukan Kou Itakura pada minit-minit akhir masa kecederaan telah menghadiahkan sepakan penalti buat Iran yang disudahkan ketua pasukan, Alireza Jahanbakhsh untuk membawa Team Melli itu ke separuh akhir.

Jaringan yang sekali gus menghancurkan harapan Jepun untuk mengintai peluang muncul juara buat kali kelima dalam sejarah negara tersebut.

Soccer Football – AFC Asian Cup – Quarter-Final – Iran v Japan – Education City Stadium, Al Rayyan, Qatar – February 3, 2024 Japan’s Kou Itakura fouls Iran’s Hossein Kanani to concede a penalty REUTERS/Ibraheem Al Omari

Susulan dengan kekalahan tersebut, Moriyasu turut mengakui banyak aspek yang perlu diperbaiki oleh barisan pemainnya.

“Saya berasa sedih dan kasihan kepada para penyokong dan semua individu yang terlibat dengan bola sepak Jepun. Saya juga bertanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan (kekalahan) ini.”

“Kakitangan dan pemain saya telah memberikan segalanya. Mereka membuat persediaan sebaik mungkin untuk perlawanan dan kejohanan ini.”

“Iran membuatkan kami berada dalam tekanan dan kami tidak mampu untuk menahan tekanan tersebut. Berdepan lawan yang kuat, kami tidak boleh melepaskan gol seperti kami lakukan pada perlawanan ini.”

“Kami sepatutnya menjaringkan gol kedua dan jika kami melakukannya, permainan akan berbeza,” ujar Hajime Moriyasu menurut sumber France 24 dan Gulf-Times.