Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menegaskan pasukannya akan tampil lebih garang dalam perlawanan hidup mati menentang Bahrain pada aksi kedua kumpulan E Piala Asia 2023 malam esok.
Kemenangan ke atas Bahrain sangat penting bagi menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati menerusi slot tempat ketiga terbaik kumpulan.
Baca Juga:
- Piala Asia 2023: Senarai Lokasi Tayangan Skrin Besar Aksi Harimau Malaya Di Seluruh Negara
- Harimau Malaya Tarik Perhatian Bekas Kapten Korea Selatan
- Nama Kim Pan Gon Dan Harimau Malaya ‘Viral’ Di Korea Selatan
“Kami tidak datang sini untuk seri atau kalah. Perlawanan esok sangat kritikan dan kami akan bermain habis-habisan untuk menang lawan Bahrain.
“Walaupun kami bukan pasukan pilihan dalam kumpulan E, kami mahu tunjukkan kepada semua yang kami mampu lakukannya.
“Kami akan kawal, mendominasi dan menyerang untuk dapatkan tiga mata penuh. Inilah cara bola sepak Malaysia,” tegas Kim Pan Gon ketika sidang media.
Kekalahan 0-4 kepada Jordan ketika perlawanan pertama telah memberikan pengajaran yang berguna kepada skuad Harimau Malaya.
“Saya juga telah melihat kembali rakaman perlawanan menentang Jordan bersama pemain untuk memperbaiki kelemahan kami. Pemain akui kecewa ketika tewas pada perlawanan pertama. Sekarang mereka mahu bangkit dan kembali menyerang.
“Saya mahu mental pemain bertambah lebih kuat dalam perlawanan menentang Bahrain,” tambah Pan Gon.
Selain itu, Kim Pan Gon juga mengesahkan pemain tengah JDT, Natxo Insa sedia diturunkan pada perlawanan esok.
“Kami akan melihat dahulu keadaannya kerana keutamaan di sini ialah melindungi pemain daripada sebarang kecederaan. Bagaimanapun, semuanya nampak positif setakat ini,” jelasnya.