Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong mencipta kejutan apabila membuat keputusan untuk menyingkirkan pemain sayap prolifik, Saddil Ramdani daripada pasukannya menjelang aksi Piala Asia 2023 yang bakal bermula esok.

Penyingkiran pemain Sabah itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong Indonesia walaupun Saddil dibawa ke Qatar bersama pasukan itu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Pengurus skuad Garuda, Sumardji menjelaskan alasan Saddil disingkirkan ialah kerana pertukaran strategi dan prestasi buruk pemain itu. Selain Saddil, Shin Tae-yong turut menyingkirkan pemain tengah, Arkhan Fikri.

“Pertimbangannya adalah teknikal. Terdapat kriteria-kriteria yang dinilai oleh Coach Shin. Penilaiannya itu mulai dari teknikal sampai strategi,” jelas Sumardji.

Daripada 28 pemain awal, tempat Saddil Ramdani digantikan oleh pemain Borneo FC, Adam Alis. Pada mulanya, nama Adam tiada dalam senarai skuad akhir, namun Shin Tae-yong melakukan perubahan dengan memasukkan namanya.

Saddil Ramdani cukup cemerlang bersama pasukan Sabah apabila membantu Sang Badak layak ke peringkat separuh akhir Piala AFC zon ASEAN pada bulan Februari ini.

Berdasarkan rekod, beliau telah menjaringkan 7 gol dan melakukan 16 bantuan gol dalam 26 penampilan bersama Sabah. Ketiadaannya di pentas Piala Asia sudah pasti akan dirasai oleh para penyokong Indonesia.

Indonesia dijadualkan bertemu Iraq pada 15 Januari ini untuk aksi pertama kumpulan D sebelum menghadapi perlawanan sukar berdepan Vietnam (19 Januari) dan Jepun (24 Januari).

Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik kumpulan.