Indonesia mengalami kekalahan ketiga pada aksi persahabatan apabila dibelasah 5-0 ketika menentang Iran sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2023.

Dalam perlawanan yang tertutup dan tidak disiarkan secara langsung, Iran dilaporkan sengaja bermain dengan 10 orang pemain ketika separuh masa pertama untuk memberikan tekanan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Perkembangan itu didedahkan oleh wartawan Iran yang mengatakan ia sekadar untuk menguji pemain apabila berdepan skuad Indonesia.

“Untuk menguji tekanan pemain Iran, mereka hanya bermain dengan 10 orang pada 10 minit terakhir di separuh masa pertama. Ketika ini, mereka mampu menjaringkan 3 gol,” tulis PRZN Sport. 

“Iran bermain 10 orang pada minit ke 35 hingga 45 kerana ketua jurulatih (Amir Ghalenoei) tidak mahu menggantikan seorang pemain yang mengalami kecederaan iaitu Majid Hosseini dengan tujuan untuk menguji tekanan pemain,” tulis Iran Team Melli di laman X.

Dalam perlawanan ini, Iran membuka akaun jaringan seawal minit ketiga menerusi pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris bersama Brentford FC iaitu Saman Ghoddos.

Iran kemudian menambah gol kedua pada minit ke 21 dan kali ini giliran Rouzbeh Cheshmi meletakkan nama sebagai penjaring. Pada minit ke 35, Saman Fallah menjaringkan gol ketiga sekaligus menyaksikan perlawanan beraksi dengan keputusan 3-0 di separuh masa pertama.

Indonesia cuba bangkit mencari jaringan pertama namun mereka masih belum mampu menembusi benteng pertahanan Iran yang terdiri daripada pemain berpengalaman.

Skuad kendalian Amir Ghalenoei itu terus menambah dua lagi gol di separuh masa kedua. Dua gol itu dijaringkan oleh penyerang, Mehdi Ghayedi pada minit ke 71 dan 87. Kedudukan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan dalam tiga aksi persahabatan sudah tentu akan menjejaskan keyakinan pemain Indonesia menjelang aksi pertama Piala Asia 2023 menentang Iraq pada 15 Januari ini.

Bagaimanapun, pengendali skuad Garuda, Shin Tae-yong tidak begitu bimbang dengan keputusan perlawanan persahabatan sebaliknya menyifatkan anak buahnya kali ini lebih bersedia menghadapi perlawanan sebenar.