Korea Selatan menepati ramalan apabila memulakan kempen kumpulan E Piala Asia 2023 dengan langkah kanan selepas menewaskan Bahrain 3-1  di Stadium Jasim Bin Hamad, Qatar.

Mereka perlu menunggu sehingga minit ke 38 untuk mendapatkan gol pembukaan menerusi Hwang In-beom yang menyudahkan hantaran Son Heung Min.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-0 namun ia tidak mematahkan semangat Bahrain untuk bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke 51 selepas Abdullah Al Hashash menolak masuk bola muntah yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Korea Selatan.

Bagaimanapun, jaringan itu tidak bertahan lama apabila bintang Paris Saint-Germain (PSG), Lee Kang In berjaya meletakkan Korea di depan menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke 56.

Gol itu memberikan semangat tambahan kepada skuad kendalian Jurgen Klinsmann untuk terus mengandakan asakan sekaligus memaksa benteng pertahanan Bahrain bekerja lebih keras.

Lee Kang In sekali lagi menambah gol ketiga untuk Korea Selatan selepas rembatan leretnya mudah menewaskan penjaga gol Bahrain pada minit ke 68 hasil hantaran Hwang In Beom.

Tonggak Tottenham Hotspurs, Son Heung Min berpeluang menambah gol keempat untuk Korea Selatan tetapi malangnya semua percubaan beliau tersasar.

Beliau juga dilayangkan kad kuning oleh pengadil kerana dilihat sengaja menjatuhkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus menghadiahkan tiga mata pertama untuk Korea Selatan. Mereka kini merupakan pendahulu kumpulan E sementara aksi Malaysia menentang Jordan akan berlangsung pada awal pagi nanti.