Pasukan Palestine mencipta sejarah apabila mara ke pusingan 16 pasukan terakhir buat kali pertama dalam temasya Piala Asia selepas menewaskan Hong Kong dengan keputusan 3-0.

Lions of Canaan wajib untuk mencipta kemenangan ke atas Hong Kong untuk menjadi salah satu pasukan di tangga ketiga terbaik dimana sebelumnya mereka hanya mengutip satu mata ketika berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kumpulan E.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Penyerang yang beraksi dalam saingan Liga Belgium, Oday Dabbagh menjadi wira pasukan apabila menjaringkan dua gol manakala seorang lagi pemain iaitu Zaid Qunbar menyumbang satu gol sekaligus memastikan Palestine mencatat kemenangan.

Kemenangan yang diraih ketika berdepan Hong Kong semalam turut menjadi kemenangan pertama pasukan itu sepanjang mereka beraksi dalam temasya Piala Asia.

Kejayaan ini mendapat sambutan hangat dari peminat bola sepak dunia memandangkan negara itu sedang bergolak hasil dari peperangan antara Hamas menentang regim zionis Israel yang berlarutan sejak bulan Oktober tahun lalu.

Ketua pasukan iaitu Musab Al-Battat mendedikasikan kejayaan ini untuk rakyat negara itu dimana sebelumnya mereka berjanji untuk melepasi saingan peringkat kumpulan dalam temasya edisi kali ini.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong kami. Kami berjaya melukis senyuman terhadap mereka yang mengikuti kami, di dalam atau luar Palestine,” katanya.

Dua lagi pasukan iaitu Iran dan UAE turut mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan seterusnya dimana Iran muncul sebagai juara kumpulan manakala UAE muncul sebagai naib juara.