Skuad kebangsaan Malaysia yang dibimbing oleh Kim Pan-gon menjadi antara pasukan yang mempunyai purata umur tertua dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar.

Menurut data yang dikongsikan oleh Footy Ranking di laman media sosial X, Malaysia mempunyai purata umur 28 tahun dan menjadi antara yang tertua dalam temasya edisi kali ini.

Baca Juga:

Dalam skuad kali ini, Pan-gon membawa seramai sebelas pemain yang berusia 30 tahun ke atas antaranya Shahrul Saad (31), Daniel Ting (32), Junior Eldstal (33), Corbin-Ong (33), Khuzaimi Piee (31), Afiq Fazail (30), Darren Lok (34), Mohamadou Sumareh (30), Paulo Josue (35) serta dua pemain tertua iaitu Brendan Gan (35) dan Natxo Insa (36).

Tiga pasukan mempunyai purata umur yang lebih tua berbanding Malaysia iaitu China (29.17), Iran (29.52) dan Lebanon (29.76) manakala Indonesia menjadi pasukan termuda dalam Piala Asia 2023 dimana skuad bimbingan Shin Tse-yong itu mempunyai purata umur 22 tahun.

Bekas penulis Vocket, Ahmad Ridzuan ada berkongsi data mengenai pasukan yang mempunyai purata tinggi pemain dan juga berat pemain bagi temasya edisi kali ini.

Iran menduduki tangga teratas dalam purata tinggi pemain iaitu 183.3 sentimeter dan pasukan itu juga muncul sebagai pasukan dengan purata berat pemain tertinggi iaitu 79.3 kilogram.

Thailand menjadi pasukan dengan purata berat pemain paling ringat iaitu 69.6 kilogram manakala Vietnam menjadi pasukan dengan purata pemain terpendek iaitu 175.4 sentimeter.

Statistik di atas hanyalah nombor namun mampu untuk memberikan kesan terhadap keputusan yang akan diraih apabila Piala Asia 2023 membuka tirai pada 13 Januari ini.