Peluang Malaysia untuk mara ke suku akhir Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) tertutup rapat selepas tewas 0-2 kepada Vietnam pada aksi kedua saingan kumpulan D yang berlangsung di Khalifa International Stadium, sebentar tadi.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut dialami skuad kendalian Juan Torres Garrido dimana sebelum ini mereka tunduk kepada Uzbekistan juga dengan keputusan yang sama.
Baca Juga:
- Piala Asia B-23: Harimau Muda Sedia Kejutkan Vietnam
- Piala Asia B-23 2024: Malaysia Longlai Bertemu Uzbekistan
- Piala Asia B-23 2024: Gol Komang Teguh Bantu Indonesia Tundukkan Australia
Turun dengan misi untuk meraih kemenangan bagi menghidupkan kembali peluang ke pusingan seterusnya, pemain negara bermula dengan baik susulan percubaan awal dilancarkan Fergus Tierney.
Namun, percubaan Tierney seawal minit keempat dalam kawasan penalti hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Vietnam yang dikawal Van Chuan Quan.
Tersentak dengan serangan tersebut, Vietnam kemudiannya tampil dengan lebih baik untuk menguasai permainan dan mencipta beberapa peluang terbaik.
Peluang pertama hadir pada minit ke-18 selepas Vo Hoang Minh Khoa melakukan tandukan selepas menerima umpanan cantik rakan sepasukannya tetapi ditepis dengan baik Muhammad Azim Al Amin.
Jaringan yang dinantikan kem Vietnam hadir pada minit ke-39 apabila sepakan percuma diambil Van Khang Khuat terus menerjah gawang skuad negara bagi meletakkan skuad kendalian Anh Tuang Hoan itu dihadapan.
Nooa Laine mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan babak pertama tetapi percubaannya dari luar kawasan penalti diselamatkan Chuan Quan.
Vietnam menambah jaringan kedua ketika aksi memasuki minit ke-60 menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Minh Khoa.
Sepakan tersebut dihadiahkan oleh pengadil perlawanan dari Iran, Mooud Bonyadifard berikutan kekasaran dilakukan Ubaidullah Shamsul ke atas Vi Hao Bui.
Malaysia cuba bangkit dengan dua percubaan terbaik oleh dua pemain gantian iaitu Haqimi Azim Rosli dan Alif Izwan pada lewat permainan tetapi Chuan Quan cemerlang menggagalkan percubaan tersebut untuk memastikan Vietnam meraih kemenangan kedua berturut-turut.
Satu keadaan yang sekali gus meranapkan impian skuad negara untuk mara ke peringkat suku akhir.