Hasrat skuad muda Indonesia mara ke final Piala Asia B-23 tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada Uzbekistan pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Perlawanan itu turut diwarnai dengan keputusan kontroversi Video Bantuan Pengadil (VAR) yang seakan-akan menjadi penghalang kepada Indonesia untuk menempah tiket ke Sukan Olimpik lebih awal.

Baca Juga:

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati untuk mengelakkan kesilapan mudah sehingga buntu mencari jaringan awal.

Memasuki babak kedua, perlawanan menjadi rancak apabila Uzbekistan melancarkan serangan bertubi-tubi sekaligus memaksa benteng pertahanan Indonesia bekerja keras.

Pada minit ke 60, stadium bergegar dengan sorakan ribuan penyokong Indonesia apabila Muhammad Ferrari merembat masuk gol pertama dalam situasi kelam kabut dalam kawasan kotak penalti.

Bagaimanapun, hasil penelitian dalam rakaman video (VAR), pengadil telah membatalkan jaringan tersebut kerana didakwa berada dalam kedudukan ‘offside’.

Tersentak dengan jaringan itu, Uzbekistan kembali bangkit lebih garang dan berjaya menjaringkan gol menerusi tolakan Khusayin Norchaev hasil hantaran cantik daripada sebelah kanan.

Malang menimpa Indonesia apabila terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas kapten pasukan, Rizki Ridho dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke 83.

Kad merah diberikan kerana pengadil mendapati pemain itu bertindak mencederakan lawan berdasarkan penelitian dalam rakaman VAR.

Dua minit kemudian, Uzbekistan memperolehi gol kedua hasil jaringan pemain pertahanan Indonesia, Pratama Arhan yang tertolak masuk ke gawang sendiri dalam situasi sepakan percuma.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan namun ia masih belum menutup peluang Indonesia untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Mereka perlu menang ke atas Jepun atau Iraq menerusi perlawanan penentuan tempat ketiga.

Hanya tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi ‘play-off’ menentang wakil Afrika, Guinea.