Malang menimpa juara bertahan, Jepun apabila tersingkir awal daripada saingan Piala Asia Futsal 2024 apabila sekadar seri 1-1 pada aksi terakhir saingan kumpulan B bertemu Tajikistan, sebentar tadi.

Satu keadaan yang menyaksikan Jepun turut menelan kepahitan terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat kempen Piala Dunia Futsal 2024 pada 14 September hingga 6 Oktober nanti.

Baca Juga:

Lebih pedih buat kem Jepun kerana satu lagi aksi yang menemukan antara Korea Selatan dan Krygyzstan hanya berkesudahan 5-5.

Ini bermakna Jepun akan mara ke suku akhir sekiranya berjaya menumpaskan Tajikistan tetapi ia tidak mampu untuk dijelmakan oleh anak-anak buah Kenichiro Kogure.

Jepun yang merupakan juara empat kali kejohanan berjaya membuka tirai pada minit ke-11 menerusi jaringan Kentaro Ishida.

Kelebihan itu dipadamkan ketika perlawanan memasuki minit ke-25 apabila Muhamadjon Sharipov menghasilkan jaringan penyamaan buat Tajikistan.

Kredit Foto: 2024 Asian Football Confederation (AFC)

Tersentak dengan gol tersebut, Jepun memberikan tekanan hebat buat Tajikistan dan turut menggunakan taktikan ‘Power Play’, namun usaha itu masih tidak mampu untuk mendapatkan jaringan kemenangan.

Keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk menoktahkan perjuangan Jepun pada edisi kali ini dengan penuh kekecewaan.

Ia juga merupakan pertama kali dalam sejarah Jepun gagal melepasi peringkat kumpulan bagi kejohanan Piala Asia Futsal.

Sementara itu dalam perkembangan lain, dua pasukan dari Asia Tenggara iaitu Thailand dan Vietnam akan beraksi di suku akhir.

Thailand akan berdepan Iraq manakala Vietnam pula bakal menanti cabaran hebat Uzbekistan.