Thailand tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan dalam aksi sulung Piala Asia Futsal 2024 selepas berjaya menumpaskan China 3-1 pada perlawanan yang berlangsung di Huamark Indoor Stadium, Bangkok sebentar tadi.
Mendapat sorakan padu ribuan penyokong sendiri, Thailand membuktikan status selaku antara pasukan gergasi di Asia dengan corak permainan bertenaga dan tersusun ditampilkan.
Baca Juga:
- Piala Asia Futsal 2024: Uzbekistan Tundukkan Australia 3-2
- Piala Asia Futsal 2024: Myanmar Kental Ikat Vietnam 1-1
- Cordoba Lepaskan Muhammad Osamanmusa Hadapi Piala Asia Futsal 2024
Ia jelas dibuktikan apabila anak buah Miguel Rodrigo itu mendominasi sebahagian besar permainan dan nyata membuatkan penjaga gol China, Song Zechao menjadi individu paling sibuk dalam gelanggang.
Mendapat sentuhan Muhammad Osamanmusa yang memperkuatkan jentera serangan pasukan, Thailand jelas kelihatan cukup berbahaya dalam memberikan ancaman ke kubu China.
Pemain yang berkelana di Sepanyol itu mendapat peluang terbaik pada minit kelapan, tetapi rembatannya selepas melakukan ‘turning’ cantik sekadar singgah di palang gol.
Kehampaan Osamanmusa itu ditebus Apiwat Chaemcharoen pada minit ke-12 selepas gerakan solonya disudahkan dengan percubaan yang menewaskan Zechao bagi meletakkan Thailand dihadapan.
Jaringan itu nyata menyemarakkan lagi semangat pemain Thailand dan hanya seminit kemudian, Suphawut Thueanklang pula dengan tenang menjadikan kedudukan 2-0 setelah menerima umpanan jauh daripada ketua pasukan, Jirawat Sornwichian.
Kedudukan terus berubah ketika aksi memasuki minit ke-15 apabila Osamanmusa yang menerima hantaran Worasak Srirangpirot melepaskan rembatan padu yang tidak mampu diselamatkan Zechao.
Ketinggalan tiga gol, China cuba menggunakan taktikal ‘Power Play’ sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung tetapi pemain Thailand cukup berdisiplin ketika bertahan.
Kelebihan dimiliki turut menyaksikan Thailand sedikit mengendurkan asakan dan memberikan sedikit ruang buat China untuk mengatur gerakan berbahaya.
Peluang keemasan China hadir pada minit ke-30 dimana Chen Zhiheng hanya berhadapan dengan Arut Senbat tetapi percubaannya yang sudah melepasi penjaga gol tersebut hanya singgah di palang gol.
Jaringan saguhati yang dinantikan China hadir beberapa minit sebelum aksi berakhir menerusi ketua pasukan, Xu Yan untuk aksi berkesudahan 3-1 memihak Thailand.
Dengan kemenangan tersebut, Thailand kini berada di tangga teratas manakala Vietnam dan Myanmar terikat dengan satu mata manakala China di kedudukan keempat.