England melangkah ke suku akhir selepas menundukkan Mexico 3-2 pada aksi pusingan 16 Piala Dunia 2026 yang penuh drama di Stadium Azteca sebentar tadi.

Kemenangan tersebut bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila tuan rumah bersama itu memberikan tekanan hebat berbekalkan sorakan padu puluhan ribu penyokong sendiri. Malah skuad Three Lions itu terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-54.

Kesukaran tersebut jelas dibuktikan apabila skuad kendalian Javier Aguirre itu mengancam gawang England pada minit ke-15 namun tandukan Raul Jimenez selepas menerima hantaran lintang Roberto Alvarado ditepis keluar Jordan Pickford.

Menyerap tekanan dengan baik, England berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi Jude Bellingham hasil tandukan setelah menerima umpanan lintang Bukayo Saka.

Tidak cukup dengan itu, Bellingham menambah jaringan kedua hanya dua minit kemudian selepas pemain tengah itu mudah menolak masuk bola dari jarak dekat.

Aksi semakin menarik setelah Julian Quinones meledakkan rembatan padu jarak dekat bagi merapatkan defisit jaringan pada minit ke-42.

England hampir menambah jaringan pada minit ke-49 tetapi percubaan rendah Nico O’Reilly sekadar singgah di pintu gol ketika penjaga gol, Raul Rangel sudah pun tertewas.

Memasuki minit ke-54, England menerima tamparan hebat apabila bek kanan, Jarell Quansah diperintahkan keluar padang susulan kekasaran dilakukannya hasil rujukan Video Assistant Referee (VAR).

Kekurangan seorang pemain yang pada mulanya dilihat memberikan masalah buat England menjadi sebaliknya selepas tandukan Harry Kane membolehkan Anthony Gordon hanya berhadapan Rangel.

Keadaan itu memaksa Rangel melakukan kekasaran terhadap Gordon untuk memberikan sepakan penalti kepada England. Kane yang mengambil sepakan tersebut pada minit ke-60 tidak berdepan masalah untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Kane kemudiannya melakukan kekasaran terhadap Brian Gutierrez ketika aksi memasuki minit ke-66 untuk Mexico pula dihadiahkan sepakan penalti.

Jimenez dengan tenang menyudahkan sepakan pada minit ke-69 tersebut untuk terus memberikan tekanan buat England.

Jaringan kedua itu terus menyemarakkan api perjuangan Mexico untuk mendapatkan jaringan penyamaan tambahan pula 11 minit masa tambahan turut diberikan.

Namun, barisan pertahanan England serta Pickford kental bertahan untuk memastikan kemaraan England ke suku akhir sekali gus menempah pertemuan menentang Norway.