Erling Haaland sekali lagi membuktikan mengapa namanya berada dalam kelompok penyerang terbaik dunia apabila muncul wira Norway menerusi jaringan kemenangan lewat permainan untuk menewaskan Ivory Coast 2-1 pada aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Dallas.

Perlawanan berlangsung sengit sejak awal dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Norway terlebih dahulu memecahkan kebuntuan pada minit ke-39 menerusi aksi solo berkualiti Antonio Nusa yang berjaya menewaskan benteng pertahanan Ivory Coast sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol lawan.

Selepas rehat, Ivory Coast meningkatkan tekanan dan usaha mereka akhirnya berhasil pada minit ke-74. Amad Diallo, yang sebelum itu turut melakukan tindakan menyelamatkan bola di garisan gol, menyempurnakan gerakan cantik untuk mengikat kedudukan 1-1 sekali gus menghidupkan semula harapan wakil Afrika itu.

Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Haaland muncul tepat pada masanya. Pada minit ke-86, penyerang Manchester City itu bijak berada di posisi terbaik untuk menyudahkan gerakan yang dimulakan Oscar Bobb dan Patrick Berg sebelum menolak masuk bola dari jarak dekat bagi menghadiahkan Norway gol kemenangan.

Jaringan itu bukan sahaja memastikan Norway menang 2-1, malah membawa mereka melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah negara tersebut. Haaland turut meneruskan sentuhan luar biasanya bersama skuad kebangsaan apabila terus menjadi sandaran utama dalam misi Norway mencipta sejarah di pentas dunia.

Haalaand kini sudah mencetak 60 gol untuk Norway hanya dalam 53 perlawanan. Ianya mengambil 130 perlawanan untuk Cristiano Ronaldo melakukannya untuk Portugal dan 122 perlawanan untuk Messi melakukannya untuk Argentina.

Kemenangan ini turut membuktikan keberanian jurulatih Ståle Solbakken yang sebelum ini dikritik kerana merehatkan beberapa tonggak ketika aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Perancis.

Keputusan itu akhirnya berbaloi apabila skuadnya tampil lebih segar untuk menyingkirkan Ivory Coast dan kini bakal berdepan Brazil dalam pusingan 16 terbaik.