Jepun mempamerkan aksi cukup bertenaga untuk membelasah Tunisia 4-0 pada aksi kedua Kumpulan F Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Estadio Monterrey, Mexico sebentar tadi.

Kemenangan itu melonjakkan Jepun di tangga kedua dengan empat mata untuk berkelebihan satu mata dihadapan Sweden.

Lebih menarik, aksi Jepun bertemu Tunisia ini adalah perlawanan ke-1000 dalam sejarah penganjuran Piala Dunia.

Jepun Garang Belasah Tunisia

Skuad kendalian Hajime Moriyasu itu tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan selepas Daichi Kamada membolosi gawang lawan seawal minit keempat.

Berpunca daripada hantaran lintang Keito Nakamura di sebelah kanan pintu gol Tunisia, Kamada menguis masuk bola untuk meletakkan Jepun dihadapan.

Tidak cukup dengan itu, skuad Samurai Biru terus menekan Tunisia dengan dua percubaan berbahaya pada minit keenam dan ke-10.

Bagaimanapun percubaan Ayase Ueda ketika sudah melepasi kawalan pertahanan lawan sekadar melambung tinggi manakala tolakan Takehiro Tomiyasu dari jarak dekat berjaya diselamatkan penjaga gol, Aymen Dahmen di atas garisan gol.

Memasuki minit ke-31, Ueda melakukan gerakan solo dan kemudiannya melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti yang gagal diselamatkan Dahmen untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Penguasaan berterusan membolehkan gergasi Asia itu menambah gol ketiga menerusi Junya Ito selepas menerima umpanan cantik dari Ueda pada minit ke-69.

Tidak cukup dengan itu, Ueda membuktikan kemampuan hebatnya dengan menanduk masuk bola hasil hantaran Kaishu Sano untuk memastikan kemenangan memihak Jepun dengan keputusan 4-0.