Kanada tampil dengan cukup garang untuk membelasah Qatar 6-0 pada aksi kedua kumpulan B Piala Dunia 2026 yang berlangsung di BC Place Vancouver sebentar tadi.
Lebih manis, ia merupakan pertama kali dalam sejarah mereka berjaya mencatatkan kemenangan dalam kempen Piala Dunia.
Mendapat sorakan padu penyokong sendiri jelas menyemarakkan api perjuangan skuad kendalian Jesse Marsch itu.

Kanada Tampil Garang
Ia jelas dibuktikan apabila tuan rumah hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh permainan tetapi percubaan separa voli Jonathan David dinafikan penjaga gol Qatar, Mahmud Abunada.
Kem Kanada melonjak kegembiraan pada minit ke-16 selepas penyerang, Cyle Larin melakukan percubaan susulan yang menggegarkan gawang lawan ketika Abunada sudah berjaya menghalang rembatan awal daripada David bagi meletakkan Les Rouges dihadapan.
Memasuki minit ke-29, David pula menemui sentuhan jaringan menerusi percubaan voli cantik yang tidak mampu diselamatkan Abunada.
Malang terus menimpa anak buah Julen Lopetegui selepas pemain pertahanan, Homam Ahmed diperintahkan keluar padang susulan kekasaran dilakukannya betul-betul di luar kawasan penalti ke atas Tajon Buchanan.
Kesempatan beraksi dengan kelebihan seorang pemain itu digunakan sepenuhnya oleh Kanada untuk terus menguasai permainan.
Malah, Kanada turut menambah jaringan ketiga menerusi David apabila dengan mudah menolak masuk bola pada masa kecederaan babak pertama.

Pada minit ke-53, Qatar kehilangan seorang lagi pemain selepas Assim Madibo pula dibuang padang berikutan kekasaran yang mengerikan ketika membentes kaki Ismael Kone.
Keadaan tersebut membolehkan Kanada menambah jaringan menerusi sepakan percuma Nathan-Dylan yang terus menerjah gawang Qatar pada minit ke-64.
Tidak cukup dengan itu, Kanada terus berpesta dengan jaringan sendiri Mohamed Naceur Almanai pada minit ke-75 dan hatrik David pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemenangan besar 6-0.