Pihak berkuasa di Monterrey, Mexico dilaporkan berdepan kritikan selepas muncul dakwaan bahawa beberapa kawasan berpendapatan rendah ditutup menggunakan kanvas dan kain rentang berwarna-warni.

Ianya dibuat bagi menghalang pelancong melihat keadaan sebenar perumahan yang daif menjelang Piala Dunia 2026.

Kerajaan Mexico tidak mahu pelancong sukan ke negara itu melihat kawasan daif terutama sekali di kawasan setinggan negara tersebut.

Menurut laporan yang tular di media sosial, langkah tersebut didakwa sebahagian daripada usaha mencantikkan imej bandar raya itu yang bakal menjadi salah satu tuan rumah kejohanan terbesar dunia berkenaan.

Monterrey sememangnya sedang membuat persiapan besar-besaran untuk menerima ribuan penyokong dari seluruh dunia sempena Piala Dunia yang bermula minggu ini.

Tindakan itu bagaimanapun mengundang kecaman ramai yang berpendapat pihak berkuasa sepatutnya memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah kemiskinan dan perumahan, bukannya menyembunyikannya daripada pandangan umum.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai tujuan sebenar pemasangan kanvas tersebut.

Namun isu itu menambah senarai kontroversi yang melanda bandar-bandar tuan rumah di Mexico menjelang sepak mula Piala Dunia 2026, termasuk bantahan berkaitan perbelanjaan awam dan projek mencantikkan bandar.

Monterrey merupakan antara tiga bandar di Mexico yang menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026 bersama Mexico City dan Guadalajara.