Mexico mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu kumpulan A Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Korea Selatan 1-0 pada aksi yang berlangsung di Guadalajara Stadium sebentar tadi.
Ia merupakan kemenangan kedua dilakarkan Mexico yang sebelum ini menundukkan Afrika Selatan 2-0 pada aksi pembukaan.
Enam mata diraih itu juga sekali gus sah membawa negara tuan rumah kendalian Javier Aguirre tersebut ke pusingan 32.
Mexico Pasukan Pertama Layak Ke Pusingan 32
Walaupun aksi pada babak pertama dilihat sedikit hambar, Mexico masih berupaya mengancam kubu Korea Selatan pada minit ke-20.
Namun, tandukan Julian Quinones selepas menerima hantaran lintang Roberto Alvarado diselamatkan penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-Gyu.
Jesus Gallardo pula mengancam gawang lawan pada minit ke-49 dengan larian ke dalam kawasan penalti tetapi percubaannya dari sudut sukar sekadar tersasar.
Kesilapan Kim Seung-Gyu seminit kemudian dihukum Luis Romo yang menolak masuk bola ketika tangkapan penjaga gol berpengalaman itu ketika situasi bola udara terlucut bagi membolehkan Mexico berada dihadapan.
Mexico jelas semakin bersemangat dengan jaringan tersebut dan hampir menambah gol kedua menerusi Raul Jimenez pada minit ke-75.
Bagaimanapun, rembatan di sebelah kanan oleh penyerang tersebut selepas menerima lorongan Quinones digagalkan Seung-gyu.
Seung-gyu sekali lagi cemerlang apabila menepis percubaan padu kaki kiri dari luar kawasan penalti yang diledakkan Obed Vargas bagi menyelamatkan keadaan.
Korea Selatan yang memberikan tekanan pada lewat permainan pula dihampakan oleh Raul Rangel yang cukup cemerlang dalam menafikan dua percubaan berturut-turut oleh Cho Gue-sung dan Yang Hyun-Jun.
Keputusan 1-0 itu kekal hingga wisel penamat ditiup pengadil dari Gustavo Tejera dari Uruguay untuk pesta buat skuad El Tri menjadi pasukan pertama mara ke pusingan 32.