Piala Dunia 2026 bukan sekadar pentas untuk memburu trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia, tetapi juga medan di mana bintang-bintang terbesar akan membuktikan kehebatan mereka di hadapan jutaanpeminat.

Dalam kalangan nama-nama besar yang bakal mencuri tumpuan, pemain beragama Islam sekali lagi dijangka menjadi antara watak utama yang menghidupkan kejohanan ini.

Dengan aksi, inspirasi dan momen luar biasa. Dari serangan kilat hingga benteng pertahanan yang kebal, inilah senarai pemain beragama Islam yang perlu diberikan perhatian dalam saingan Piala Dunia 2026 menurut sumber laman Instagram Athletic Islam.

Mereka yang dimaksudkan ialah:

Piala Dunia 2026

1) Ousmane Dembele (Perancis)

Kali terakhir Ousmane Dembele beraksi di Piala Dunia, beliau masih dianggap sebagai seorang ‘flop’ yang terlebih mahal.

Namun selepas musim bersejarah yang menyaksikan kejayaan meraih quintuple bersama Paris Saint-Germain, Dembele akhirnya berjaya mendiamkan semua pengkritiknya.

Beliau kini memasuki Piala Dunia 2026 sebagai antara pemain terbaik dunia. Inilah saatnya untuk beliau berubah daripada seorang legenda kelab kepada juara dunia dua kali.

2) Achraf Hakimi (Maghribi)

Maghribi membuktikan pada tahun 2022 bahawa mereka layak berada sebaris dengan pasukan gergasi dunia selepas kejayaan luar biasa mereka dalam ‘kisah dongeng’ di Piala Dunia.

Achraf Hakimi pula menjadi enjin utama yang memastikan mereka kekal berada di tahap itu. Sebagai salah seorang bek kanan terbaik di dunia, kepimpinan beliau dijangka menjadi tunjang kepada usaha Maghribi untuk terus mencipta lebih banyak sejarah di pentas antarabangsa.

3) Lamine Yamal (Sepanyol)

Sehari selepas menyambut ulang tahun ke-17, Yamal sudah menjuarai Euro. Kini pada usia 18 tahun dan bergelar pemenang dua kali Kopa Trophy (pemain muda terbaik), Lamine Yamal menjadi nadi kreativiti kepada skuad Sepanyol yang sedang melalui fasa kebangkitan.

Kini, beliau adalah pemain yang dipercayai Sepanyol untuk memimpin mereka ke pentas podium kejohanan terbesar dunia.

4) Mohamed Salah (Mesir)

Memasuki Piala Dunia keduanya, terdapat persoalan mengenai prestasi semasa Mohamed Salah. Namun, ramai percaya beliau mampu bangkit pada saat-saat penting dan membantu skuad ‘underdog’ Egypt melangkah jauh dalam kejohanan tersebut.

5) William Saliba (Perancis)

William Saliba merupakan jeneral kepada benteng pertahanan Perancis yang cukup digeruni, dikenali sebagai pemain tenang serta memiliki kawalan permainan sangat baik.

Beliau dijangka menjadi tonggak utama dalam usaha Perancis untuk mengemudi pasukan yang hadir ke kejohanan ini sebagai salah satu pasukan paling kuat di dunia.

6) Arda Guler & Kenan Yildiz (Turkiye)

Sekiranya Turkiye berjaya dalam kejohanan berprestij ini, mereka akan dipimpin oleh dua bakat muda luar biasa yang dijangka menjadi tunjang utama dalam perjalanan pasukan itu.

7) Omar Marmoush (Mesir)

Marmoush dilihat mampu menjadi senjata utama buat Mesir untuk menambah bisa serangan pasukan di samping bintang utama, Mohamed Salah.

8) Rayan Cherki (Perancis)

Kemampuan hebat Cherki ketika menyinar dalam saingan EPL menjadi tonik berguna buatnya untuk menjadi senjata rahsia buat Didier Deschamps dalam menghadapi Piala Dunia 2026.

9) Lamine Camara (Senegal)

Piala Dunia 2026: Pemain Beragama Islam Yang Dijangka Mencuri Tumpuan
Kredit Foto: Ulrik Pedersen / NurPhoto via AFP

Senegal akan hadir ke Piala Dunia 2026 dengan skuad yang cukup menarik, dan antara pemain muda yang mencuri perhatian ialah seorang maestro tengah yang semakin menyerlah.

Beliau telah mempamerkan beberapa detik kecemerlangan di Ligue 1, dan kini persoalan utama ialah sama ada dia mampu membawa permainannya ke tahap lebih tinggi dan mengejutkan dunia di pentas terbesar bola sepak.