Ketika tujuh pasukan sudah menempatkan diri dalam kelompok pusingan 32 kempen Piala Dunia 2026 untuk meneruskan perjuangan di Amerika Utara, terdapat enam pasukan pula yang sudah pun tersingkir daripada persaingan.

Hal ini terjadi ekoran dua kekalahan berturut-turut yang dialami, sekali gus menutup terus peluang mereka untuk mara lebih jauh.

Kegagalan ini bukan sahaja berpunca daripada dua kekalahan tersebut, malah disebabkan peraturan baharu FIFA yang mengutamakan rekod pertemuan (head-to-head).

Rekod tersebut tidak memihak kepada mereka yang bermakna mereka sudah tidak mampu untuk memotong kedudukan pasukan di tangga ketiga sekiranya mencatatkan kemenangan pada aksi terakhir.

Situasi berbeza melibatkan Iraq dan Senegal meskipun sudah mengalami dua kekalahan berturut-turut dimana kedua-dua pasukan akan bertembung sesama sendiri pada aksi terakhir.

Berikut ialah senarai pasukan yang telah tersingkir daripada kejohanan selepas mengharungi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia 2026.

Pasukan Yang Tersingkir Dalam Piala Dunia 2026

1) Haiti

Pasukan dari Caribbean itu menjadi negara pertama yang tersingkir daripada kejohanan ini, meskipun masih berbaki satu perlawanan peringkat kumpulan untuk dimainkan.

Haiti tewas kepada Scotland 0-1 di Stadium Boston dan Brazil 0-3 di Stadium Philadelphia dalam saingan Kumpulan C.

Perlawanan terakhir menentang Maghribi hanya menjadi aksi untuk mempertahankan maruah, apabila kemunculan semula Haiti di Piala Dunia buat pertama kali sejak 1974 berakhir lebih awal daripada yang diharapkan.

2) Turkiye

Wakil Eropah itu menjadi pasukan kedua yang tersingkir selepas kesilapan-kesilapan penting terbukti memberi kesan besar dalam Kumpulan D.

Turkiye tewas 0-2 kepada Australia di BC Place, sebelum mengalami kekalahan 1-0 Paraguay meskipun lawan beraksi dengan 10 pemain pada keseluruhan babak kedua di San Francisco.

Ini merupakan penampilan pertama Turkiye di Piala Dunia sejak tahun 2002.

3) Tunisia

Dua kekalahan besar di Stadium Monterrey, Mexico meletakkan Tunisia melenyapkan impian mereka untuk melangkah lebih jauh dalam kumpulan F.

Pasukan Afrika itu tewas 1-5 kepada Sweden sebelum mengalami kekalahan 0-4 kepada Jepun dalam aksi yang merupakan perlawanan ke-1,000 Piala Dunia.

Tunisia akan menutup kempen mereka menentang Belanda.

4) Jordan

Pendatang baharu saingan Piala Dunia, Jordan menjadi negara keempat yang tersingkir daripada persaingan.

Mereka tewas 1-3 kepada Austria dan 1-2 kepada Algeria di Stadium San Francisco.

Lebih getir aksi terakhir mereka adalah berhadapan juara bertahan, Argentina yang menyaksikan Lionel Messi semakin ‘lapar’ dalam merobek gawang lawan.

5) Uzbekistan

Pasukan kelima yang tersingkir daripada Piala Dunia 2026 ialah satu lagi pendatang baharu Piala Dunia, iaitu Uzbekistan yang dibimbing oleh Fabio Cannavaro.

Skuad ‘White Wolves’ tewas 1-3 kepada Colombia di Stadium Mexico City sebelum mengalami kekalahan 0-5  kepada Portugal di Houston awal pagi tadi.

Mereka akan menamatkan kempen peringkat kumpulan menentang Republik Congo.

6) Panama

Pasukan keenam yang tersingkir daripada perebutan kejuaraan ialah Panama.

Negara dari Amerika Tengah itu menjadi pasukan kedua CONCACAF yang tersingkir selepas Haiti,akibat dua kekalahan tipis berturut-turut di Toronto menentang Ghana dan Croatia.

Walaupun Panama masih mempunyai satu perlawanan berbaki menentang England, peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati dalam Piala Dunia 2026 sudah pun tertutup.