Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan juara bertahan, Argentina selepas tewas 0-4 pada aksi kedua kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja 2023 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Berdepan pasukan gergasi yang turut berada di ranking pertama dunia bagaimanapun tidak menganggu rentak pemain negara untuk beraksi dengan meyakinkan terutamanya pada suku pertama dan kedua.
Baca Juga:
- Piala Dunia Remaja 2023: Malaysia Bermula Baik Belasah Chile
- Skuad Hoki Tewas Namun Beri Saingan Sengit Demi Menempa Sejarah Baru Negara
- Malaysia Lakar Sejarah Mara Ke Final Hoki Piala Asia Semenjak Tahun 1982
Skuad kendalian Amin Rahim itu menyerap tekanan yang dijelmakan Argentina dengan cukup baik dan turut mendapatkan satu pukulan sudut penalti pada minit ke-10.
Suku kedua juga menyaksikan skuad negara mencipta peluang terbaik menerusi serangan balas pantas serta tiga pukulan sudut penalti yang diterima.
Namun ketangkasan penjaga gol Argentina, Joaquin Ruiz menghalang usaha Faris Harizan dan rakan sepasukannya untuk mendapatkan jaringan.
Argentina kemudiannya menghukum dua kealpaan barisan pertahanan Malaysia dalam tempoh lapan minit menerusi jaringan dihasilkan Bautista Capurro (minit ke-20) serta Marco Aguirregomezcosta (minit ke-28).
Jaringan ketiga Argentina hadir pada minit ke-44 hasil tolakan deras susulan situasi pukulan sudut penalti yang disempurnakan ketua pasukan, Inaki Minadeo.
Gol tersebut nyata menyemarakkan lagi api perjuangan anak buah Juan Gilardi yang berjaya menambah gol keempat menerusi Juan Fernandez.
Berpunca daripada gerakan lincah dalam kawasan D oleh Ignacio Nardolillo, beliau kemudiannya melakukan hantaran lintang baik kepada Fernandez yang mudah menyudahkan peluang tersebut.
Kelebihan empat gol itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Argentina di tangga teratas dengan enam mata, manakala Australia dan Malaysia terikat dengan tiga mata.
Sehubungan dengan itu, Malaysia masih berpeluang untuk mara ke suku akhir tetapi wajib mencatatkan kemenangan ke atas Australia pada aksi terakhir peringkat kumpulan jam 2.00 petang, Jumaat ini.