Manchester City tidak berdepan masalah untuk mara ke final Piala Dunia Kelab 2023 selepas menewaskan wakil Asia, Urawa Red Diamonds 3-0 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di King Abdullah Sports City, Jeddah awal pagi tadi.

Menanti juara Eropah itu di pentas final ialah Fluminense dari Brazil yang terlebih dahulu mengesahkan kemaraan hasil kemenangan 2-0 ke atas Al Ahly (Mesir).

Baca Juga:

Manakala, Urawa Red pula akan bertemu Al Ahly bagi penentuan merebut tempat ke-3/4.

Tidak dapat menurunkan penyerang prolifik, Erling Haaland yang masih dibelenggu kecederaan menyaksikan Pep Guardiola menyandarkan harapan buat Matheus Nunes dan Bernardo Silva.

Percaturan itu dilihat membuahkan hasil apabila gandingan dari Portugal tersebut memainkan peranan baik dalam memporak-perandakan barisan pertahanan Urawa Red.

Namun walaupun menguasai sebahagian besar permainan, Manchester City yang pertama kali beraksi dalam kejohanan ini hanya mampu membuka tirai jaringan pada masa kecederaan babak pertama.

Gol tersebut berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan Urawa Red, Marius Hoibraten yang tertampan bola ke gawang sendiri dalam cubaannya untuk mematahkan hantaran lintang dilakukan Nunes.

Manchester City melebarkan kedudukan pada minit ke-52 apabila lorongan cantik daripada Kayle Walker terus mencari Matteo Kovacic yang seterusnya meluru pantas ke dalam kawasan penalti untuk menewaskan penjaga gol Urawa Red, Shusaku Nishikawa.

Empat minit kemudian, Nunes mendapat peluang untuk menambah jaringan tetapi tandukannya setelah menerima umpanan Jack Grealish sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol lawan.

Bernardo Silva menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-59 selepas rembatannya membias terkena Hoibraten lalu membolosi gawang Urawa Red ketika Nishikawa sebelum itu cemerlang menafikan percubaan awal Nunes.

Kelebihan tiga gol dimiliki The Cityzens itu kekal hingga tamat permainan untuk mengesahkan kemaraan mereka ke final yang akan berlangsung Sabtu nanti.