Malaysia menepati ramalan awal selepas mara ke pentas final acara Double saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Pengendali skuad negara, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif terus meletakkan kepercayaan terhadap Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi untuk menggalas tanggungjawab beraksi pada perlawanan ini.
Baca Juga:
- Piala Dunia Sepak Takraw 2024: Skuad Double Malaysia Ke Separuh Akhir
- Senarai Pemain Skuad Sepak Takraw Malaysia Di Piala Dunia 2024
- Mata Ranking Bakal Diperkenalkan Di Piala Dunia Sepak Takraw
Persefahaman yang kian utuh melibatkan kedua-dua pemain yang turut beraksi bersama ketika mewakili Perak Bison jelas dapat dibuktikan.
Noraizat cukup berbisa dalam melakukan rejaman serta menahan libasan pemain Myanmar manakala Aidil pula agak tenang dalam mengawal keadaaan serta melakukan umpanan kemas buat perejamnya itu.
Keadaan itu membuatkan gandingan Min Oo Zin dan Wunna Zaw yang kemudiannya digantikan dengan Paing Oo berdepan kesukaran terutamanya pada set pertama.
Aksi kemas ditampilkan Noraizat dan Aidil diterjemahkan kepada kemenangan set pertama dengan jurang mata 15-10.
Myanmar berjaya memberikan tekanan lebih hebat pada set kedua tetapi dua kesilapan berturut-turut dilakukan Paing Oo pada saat akhir memberikan ruang buat Noraizat serta Aidil untuk mengesahkan kemenangan dengan mata 17-16.
Menanti skuad Malaysia di pentas final acara Double pada malam esok sudah pastinya Thailand yang tidak berdepan masalah untuk menundukkan satu lagi wakil dari Asia Tenggara iaitu Indonesia.
Sebentar lagi, skuad regu pula akan beraksi bertemu Myanmar untuk mengintai satu lagi slot ke perlawanan akhir.