Skuad negara mara ke separuh akhir acara Double kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas berjaya menundukkan Korea Selatan pada aksi yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia akan bertemu Myanmar pada aksi separuh akhir yang dijangka berlangsung jam 8.00 malam ini.

Baca Juga:

Dibarisi duo berpengalaman iaitu Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi serta Baikhakki A’ripin selaku pemain simpanan, Malaysia bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah oleh Korea Selatan yang diperkuatkan kehadiran Shin Hee Seop dan Kim Young Cheol.

Hee Seop dan Young Cheol memberikan saingan sengit hingga membuatkan Noraizat dan Aidil berada dalam keadaan tertekan terutamanya pada set kedua.

Skuad negara bermula baik pada set pertama dengan kemenangan 15-11 tetapi Hee Seop dan Young Choel beraksi cemerlang pada lewat aksi set kedua untuk memenangi permainan 17-15 sekali gus mengheret permainan ke set ketiga.

Tidak mahu skrip sama berulang pada set ketiga, Noraizat dan Aidil tampil lebih kemas dan garang untuk mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan kemenangan 15-8.

Sementara itu, skuad regu negara yang dibarisi Syahir Rosdi, Mohd Haziq Hairul Nizam , Azlan Alias, Shahalril Aiman Halim dan Farhan Adam akan beraksi di suku akhir pada 2.00 petang nanti menentang Singapura.

Manakala, aksi Piala Dunia Sepak Takraw 2024 bagi peringkat separuh akhir acara regu pula akan berlangsung pada 9.30 malamĀ  ini.