Wakil Sarawak, Kuching FC melakar kejutan apabila bangkit menewaskan Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC 2-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA 2024-2025.

Walaupun cuaca buruk menjejaskan permulaan perlawanan ini namun kedua-dua pasukan tetap turun dengan misi untuk memburu kemenangan di Stadium Negeri.

Baca Juga:

Selangor yang dibimbing oleh Nizam Jamil terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi Ronnie Fernandez yang menolak masuk bola muntah hasil sepakan percuma Yohandry Orozco pada minit ke 31.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kuching bangkit mengandakan asakan dan kerap kali memberi tekanan kepada benteng pertahanan Selangor.

Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila James Okwuosa berjaya menyamakan kedudukan selepas menolak masuk bola sepakan percuma Luiz Fernando yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol Selangor, Samuel Somerville.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun Kuching bangkit lebih garang sebaik sahaja babak kedua bermula.

Kuching yang dibimbing oleh jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin Sahak memanfaatkan kelebihan di halaman sendiri dengan melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu Selangor.

Gawang Selangor akhirnya bocor pada minit ke 65 selepas pemain pertahanan Sharul Nazeem melakukan kesilapan sehingga membuka ruang kepada Jordan Mintah untuk menjaringkan gol kedua Kuching.

Selangor cuba mencari penyamaan tetapi keadaan padang yang becak nampaknya menghalang usaha mereka dan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Merah Kuning perlu menang 2-0 ketika aksi suku akhir kedua di Stadium MBPJ pada 6 Julai ini jika ingin mara ke peringkat separuh akhir Piala FA 2024-2025.