Baru-baru ini, pengelola Liga Malaysia iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluarkan jadual perlawanan bagi aksi peringkat 16 pasukan terakhir saingan Piala FA musim ini.

Dalam jadual yang dikeluarkan, terdapat waktu sepak mula yang berbeza bermula pukul 5:30 petang, 6:30 petang, 8:15 malam dan pukul 9 malam.

Jadual ini langsung mendapat kritikan dari peminat bola sepak tanah air yang mana ramai mempersoalkan mengapa MFL memilih jam 6:30 petang sebagai sepak mula perlawanan antara Kuala Lumpur City menentang Kuching City dan Kedah Darul Aman menentang Bukit Tambun FC.

Menurut mereka, MFL seolah-olah tidak sensitif dan peka kerana sepak mula pukul 6:30 petang itu akan memberi kesukaran kepada pemain dan peminat yang beragama Islam yang bakal menunaikan solat fardhu Maghrib sekitar pukul 7:20 malam.

Sebelum ini, apabila MFL mengumumkan waktu sepak mula yang berbeza, perkara ini mendapat sambutan baik dari peminat dimana ramai berpendapat ini merupakan salah satu langkah untuk mendapatkan ramai lagi penyokong hadir ke stadium, terutamanya perlawanan yang berlangsung pada jam 5:30 petang.

Peminat boleh membawa ahli keluarga terutamanya kanak-kanak dimana mereka mempunyai waktu yang cukup untuk berehat selepas menonton perlawanan di stadium bagi menghadapi sesi persekolahan pada hari berikutnya.

Sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada perubahan mengenai sepak mula pukul 6:30 petang bagi saingan Piala FA dan berkemungkinan besar MFL akan kekal dengan keputusan tersebut.

Saingan Liga Malaysia ketika ini berehat bagi memberi laluan kepada pasukan kebangsaan untuk menghadapi dua perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada 6 dan 11 Jun ini.