Malaysia gagal mengambil kesempatan memiliki kelebihan tiga gol apabila tunduk 3-4 ditangan New Zealand pada aksi kedua kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2024/25 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kekalahan bertemu juara bertahan itu menyukarkan skuad kendalian Sarjit Singh untuk mara ke separuh akhir.
Baca Juga:
- Hoki Piala Negara-Negara 2024/25: Malaysia Bangkit Ikat Pakistan 3-3 Dalam Aksi Mendebarkan
- Sohail Abbas Kini Penolong Jurulatih Skuad Hoki Malaysia
- Sarjit Singh Mahu Pemain Hoki Negara Hentikan ‘Penyakit Lama’
Mereka terpaksa mengharapkan New Zealand dapat menewaskan Pakistan pada aksi terakhir manakala Malaysia sendiri perlu menang besar ke atas Jepun.
Aksi suku pertama berkesudahan terikat tanpa jaringan walaupun kedua-dua pasukan memiliki peluang terbaik menerusi tolakan Azrai Aizad Abu Kamal yang terkena tiang ketika penjaga gol sudah tertewas dan percubaan Charlie Morrison pula diselamatkan Hafizuddin Othman.
Gol yang dinantikan skuad negara hadir pada minit ke-18 apabila Akhimullah Anuar Esook dengan tenang menolak masuk bola setelah menerima hantaran lintang Azrai Aizad di sebelah kanan pintu gol New Zealand.
Memasuki suku ketiga, kem negara terus garang menambah dua jaringan menerusi pukulan strok Fitri Saari pada minit ke-38 dan seminit kemudian Azrai Aizad menjadikan kedudukan 3-0.
Namun, ketinggalan tiga gol jelas langsung tidak merentap semangat juang barisan pemain New Zealand yang tampil dengan lebih bertenaga.
Ia jelas dibuktikan dibuktikan dengan tiga gol pantas dihasilkan menerusi jaringan padang Finn Ward pada minit ke-44, kuisan ketika pukulan penalti oleh Simon Yorston (minit ke-45) dan Sean Findlay (minit ke-46).
Keadaan tersebut jelas membuatkan barisan pemain negara tertekan dan mereka dihukum pada minit ke-52 selepas Ward menjadi wira untuk menghadiahkan gol kemenangan buat New Zealand.