Malaysia tampil dengan lebih baik untuk menumpaskan Afrika Selatan 4-2 pada aksi klasifikasi tempat ke-5/8 Kejohanan Piala Negara-Negara 2024/25 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan skuad kendalian Sarjit Singh itu merebut peluang menamatkan saingan kali ini dikedudukan ke-5/6.
Kemenangan itu tidak hadir dengan mudah apabila Afrika Selatan yang berada di ranking ke-12 dunia bermula baik dengan melakukan beberapa percubaan ke arah pintu gol Malaysia.
Namun penjaga gol, Hafizuddin Othman cemerlang dalam menafikan percubaan jarak dekat Mvimbi Samkelo ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan D Malaysia.
Kem negara berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-15 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Syed Syafiq Syed Cholan bagi memisahkan kedua-dua pasukan.
Afrika Selatan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-30 apabila Angelo Walstroom menyudahkan peluang terhidang susulan kegagalan Nik Aiman Rozemi mengawal bola dengan baik dalam kawasan D.
Malaysia kembali berada dihadapan pada minit ke-30 selepas Muhammad Syafiq Hassan menolak masuk bola ketika keadaan kelam-kabut hasil serangan balas pantas dimulakan Syed Syafiq.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi semangat juang barisan pemain negara yang menambah gol ketiga menerusi jaringan padang Akhimullah Anuar Esook berselang tiga minit kemudian.
Afrika Selatan yang turut memberikan tekanan terutamanya pada suku keempat berjaya mendapatkan jaringan kedua menerusi Carlon Mentoor hasil situasi pukulan sudut penalti pada minit ke-51.
Dua minit kemudian, Malaysia kembali melebarkan kedudukan dengan defisit dua gol selepas Fitri Saari merembat padu bola dalam kawasan D ketika situasi kelam-kabut dihadapan pintu gol Afrika Selatan.
Dengan kemenangan ini, skuad negara akan bertemu Wales untuk penentuan tempat ke-5/6 dimana wakil dari Eropah itu menundukkan Jepun 6-4.