Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2024/25 walaupun menundukkan Jepun 2-1 pada aksi terakhir kumpulan B yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Kegagalan itu adalah berikutan kelebihan jaringan dimiliki oleh Pakistan ketika kedua-dua pasukan terikat dengan empat mata.
Barisan pemain negara harus menyalahkan diri sendiri berikutan kegagalan menyudahkan beberapa peluang terbaik.
Dalam usaha memburu kemenangan dengan jurang lebih besar, skuad negara memulakan aksi dengan baik dan berjaya mendapatkan jaringan seawal minit kelima permainan.
Gol tersebut berpunca daripada serangan balas pantas Fitri Saari yang memberikan ruang buat Norsyafiq Sumantri untuk menolak masuk bola bagi memberikan kelebihan buat Malaysia.
Jaringan itu jelas meningkatkan moral pemain negara yang terus mendominasi aksi dalam usaha menambah jaringan.
Penyokong negara sekali lagi melonjak kegembiraan pada minit ke-26 selepas Azrai Aizad Abu Kamal pula menyudahkan peluang dalam kawasan D untuk melebarkan kedudukan.
Anak buah Sarjit Singh selepas itu terus mempamerkan corak permainan pantas untuk menambah jaringan, namun usaha mereka tidak membuahkan hasil.
Ketika aksi hanya berbaki empat minit untuk ditamatkan, Koji Yamasaki menjadi pemusnah harapan kem negara untuk beraksi di separuh akhir hasil jaringan padang dihasilkannya.
Dengan kedudukan selaku pasukan tangga ketiga kumpulan, Malaysia akan berhadapan dengan Afrika Selatan bagi aksi klasifikasi merebut tempat ke-5/8.