Perjuangan Malaysia dalam saingan Piala Thomas 2024 terhenti di separuh akhir selepas tewas 1-3 di tangan China pada aksi yang berlangsung di Chengdu, sebentar tadi.

Pemain perseorangan, Lee Zii Jia tidak mampu menghadirkan mata pertama buat kem negara selepas beliau tewas ‘straight set’ ditangan Shi Yu Qi dalam tempoh 39 minit.

Zii Jia pada mulanya memberikan saingan yang cukup hebat di set pertama dengan aksi saling kejar-mengejar mata.

Namun, Yu Qi yang kini merupakan pemain ranking kedua dunia itu kental bertahan untuk memenangi set pertama dengan jurang mata 21-19.

Segalanya serba tidak menjadi buat Lee Zii Jia pada set kedua apabila beliau seringkali melakukan kesilapan mudah dan cukup sukar untuk menyaingi kemampuan Yu Qi.

Keadaan itu membolehkan Shi Yu Qi mudah untuk mengesahkan kemenangan dengan mata 21-5 bagi menghadiahkan mata pertama buat China.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyamakan kedudukan selepas mereka berjaya mengejutkan pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Gandingan negara itu bagaimanapun tewas set pertama 15-21 sebelum tampil dengan lebih garang pada set kedua untuk menang 21-12 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Aksi set ketiga berlangsung dengan penuh debaran apabila kedua-dua pasangan terikat 15-15 tetapi juara dunia 2022 itu lebih tangkas untuk menang 21-17.

China kemudiannya kembali dihadapan selepas perseorangan kedua, Li Shi Feng menundukkan Leong Jun Hao 21-17, 21-10.

Hasrat melihat Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani menghidupkan kembali peluang buat kem negara bagi mengheret perlawanan hingga ke perseorangan ketiga tidak kesampaian apabila mereka kecundang ditangan He Ji Ting-Ren Xiang Yu.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara mengulangi pencapaian edisi 2016 mara ke separuh akhir Piala manakala China akan berdepan Indonesia, esok.