Skuad badminton Malaysia memberikan saingan sengit buat Denmark pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Thomas 2024 sebelum tunduk 2-3 dalam aksi yang berlangsung di Chengdu, China sebentar tadi.

Sandaran utama negara, Lee Zii Jia terpaksa akur dengan kehebatan Viktor Axelsen selepas beliau tunduk ditangan pemain nombor satu dunia itu dengan ‘straight set’ 16-21, 22-24 untuk mata pertama buat Denmark.

Baca Juga:

Kedudukan terikat 1-1 setelah Aaron Chia-Soh Wooi Yik bangkit daripada kekalahan set pertama bagi menewaskan Kim Astrup-Anders Rasmussen 17-21, 21-17, 21-16.

Wakil benua Eropah itu kembali berada dihadapan hasil kemenangan Anders Antonsen ke atas Leong Jun Hao 21-14, 21-10 dalam perseorangan kedua.

Sedar hanya kemenangan akan menghidupkan kembali peluang buat skuad negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tampil dengan cukup tenang untuk menghadiahkan mata kedua dengan menewaskan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Beregu kedua negara itu mempamerkan semangat juang tinggi dengan bangkit daripada ketinggalan 12-19 untuk memenangi set pertana 23-21.

Aksi set kedua turut berlangsung dengan cukup sengit apabila kedua-dua pasangan saling berkejar-kejaran mata yang akhirnya kemenangan menjadi milik Sze Fei-Nur Izzudin 22-20.

Hasrat untuk melihat pemain muda, Justin Hoh untuk melakar kejutan ke atas Rasmus Gemke pada aksi penentuan perseorangan ketiga tidak kesampaian.

Justin bagaimanapun tidak memberikan laluan mudah buat Gemke selepas mengheret aksi ke set ketiga. Namun, pengalaman jelas memihak Gemke untuk menang 21-13, 19-21, 21- 13.

Dengan kekalahan itu, Malaysia mara ke suku akhir selaku naib juara kumpulan D Piala Thomas 2024 dimana undian akan berlangsung selepas tamat perlawanan peringkat kumpulan, esok.