Beberapa hari lalu tular satu hantaran mengenai isu larangan menghiasi ucapan ‘Merry Christmas‘ pada tempahan kek di sebuah premis makanan oleh kerana mahu mematuhi syarat Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Hantaran itu telah mendapat pelbagai reaksi orang ramai mengenai ‘larangan’ seperti yang tertera pada ‘memo dalaman’ yang sedang tular di media sosial — sehinggakan premis makanan itu dikatakan rasis oleh sebahagian pelanggannya.
Baca Juga:
- JAKIM Sahkan Premis Minuman Herba Tular Hanya Memiliki Satu Produk Disijilkan Halal
- Didakwa Tidak Memiliki Sijil Halal, Respons Restoran Terkemuka Ini Nyata Mengejutkan Ramai
- ‘Boleh Mengelirukan’ – Netizen Kecam Influencer Ini Promosikan ‘Soju Halal’ Di Bangi
Sehubungan dengan itu, JAKIM tampil memberi pencerahan berhubung salah faham isu menghiasi ucapan ‘Merry Christmas’ pada tempahan kek itu.
Menerusi satu hantaran media sosial, JAKIM menjelaskan premis makanan yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia tidak dihalang untuk menerima permintaan pelanggan menulis sebarang ucapan perayaan pada tempahan kek atau seumpamanya.
Terdahulu, Free Malaysia Today melaporkan sebuah premis makanan menjual kek dituduh rasis kerana tidak mahu menulis ucapan Krismas pada kek yang ditempah pelanggannya.
Wakil premis perniagaan itu berkata pihaknya tidak mempunyai pilihan selain mematuhi peraturan atau berisiko kehilangan sijil halalnya.
Tambahnya lagi, memo yang tular itu sepatutnya untuk kegunaan dalaman sahaja. Namun salah seorang kakitangan menunjukkan memo itu kepada para pelanggan untuk membela diri.
Dalam pada itu, difahamkan salah faham tersebut merupakan isu yang berbangkit dan sebelum ini ianya pernah dijawab oleh pihak JAKIM pada 25 Disember 2020 dan 1 November 2023.
Memetik kenyataan media berhubung isu tersebut — ucapan perayaan adalah dibenarkan pada produk sekiranya ia dibuat bukan dengan tujuan untuk dipamerkan dalam premis yang telah dipersijilkan halal atau pada produk yang ditandakan dengan logo halal — penjelasan penuh boleh baca di sini.
Dalam pada itu orang ramai diminta membuat rujukan pada JAKIM atau Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri jika timbul sebarang kekeliruan berkaitan pengesahan sijil halal.