Perjalanan Cesc Fabregas untuk bergelar antara jurulatih terbaik dunia bola sepak semakin menyerlah selepas Presiden Como mendedahkan perancangan luar biasa yang disediakan pengendali itu pada hari perlawanan.

Fabregas memulakan langkah pertamanya dalam bidang kejurulatihan bersama Como selepas melalui beberapa peranan sebagai pemain, jurulatih pasukan remaja, penolong jurulatih dan pengurus sementara.

Selepas membawa Como naik ke Serie A daripada Serie B, pemenang Piala Dunia itu dilantik sebagai ketua jurulatih pada Julai 2024 dan menandatangani kontrak selama empat tahun.

Como
Kredit Foto: Mairo Cinquetti / NurPhoto via AFP

Beliau membimbing pasukan itu menamatkan saingan di tempat ke-10 dalam Serie A, pencapaian terbaik mereka sejak menduduki tempat kesembilan pada 1987.

Fabregas meneruskan peningkatan kariernya sebagai jurulatih elit apabila membawa Como menamatkan saingan di tempat keempat Serie A musim lalu sekali gus melayakkan mereka ke Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab.

Mereka kini berada di tempat ketiga liga utama Itali selepas empat perlawanan musim ini dan membelasah RB Leipzig 4-1 dalam penampilan sulung mereka di pentas Eropah.

Fabregas telah dikaitkan dengan beberapa jawatan pengurus di kelab-kelab ternama dan presiden Como, Mirwan Suwarso mendedahkan amalan menarik yang dilakukan bekas pemain Barcelona, Arsenal dan Chelsea itu sebelum dan selepas setiap perlawanan Como.

Suwarso Dedah Apa Dilakukan Fabregas

Dalam satu pendekatan yang jarang dilakukan dalam dunia bola sepak, Fabregas menyediakan satu fail dan menghantarnya kepada barisan lembaga pengarah sebelum perlawanan supaya mereka dapat memahami taktikal serta pendekatannya untuk setiap perlawanan.

Menurut Suwarso, perkara itu membantu pihak pengurusan memahami keputusan yang dibuat sepanjang perlawanan.

“Cesc sebenarnya menulis satu pelan permainan yang dihantarnya kepada lembaga pengarah 24 jam sebelum setiap perlawanan,” ujar Suwarso dalam podcast Business of Sport.

“Jadi, pemilik kelab boleh menonton perlawanan dan memahami perkara yang perlu diperhatikan, bukannya pemilik hanya berkata, ‘Pemain penyerang itu tak menjaringkan gol.”’

“Sedangkan tugasnya bukan untuk menjaringkan gol, tetapi mencipta ruang atau menjadi umpan. Bagaimana kami membina serangan, adakah kami menggunakan dua tambah tiga atau dua tambah empat? Siapa yang akan turun untuk membuka ruang? Siapa yang akan bergerak ke mana? Semua maklumat itu dimiliki oleh pemilik kelab.”

Dalam pada itu, Fabregas turut menggunakan pendekatan sama selepas perlawanan dengan membuat rumusan tentang setiap aksi dan bagaimana perlawanan itu berlangsung. Pada masa sama, pasukan data Como menyediakan analisis mereka sendiri.

“Selepas perlawanan, Cesc turut menulis laporan pascaperlawanan mengenai bagaimana permainan berkembang berdasarkan jangkaan yang kami tetapkan pada awalnya.”

Fabregas
Kredit Foto: PIERO CRUCIATTI / AFP

“Pada masa sama, pasukan data kami membuat jangkaan tersendiri mengenai bagaimana perlawanan itu sepatutnya berlangsung secara berasingan dan bebas daripada apa yang dilakukan oleh barisan kejurulatihan.”

“Pada penghujungnya, kami berkongsi semua data antara satu sama lain. Sebagai contoh, apabila kami berdepan pasukan yang bermain secara blok rendah dan kami tahu ia akan menjadi sangat sukar kerana mereka mempunyai lapan pemain pertahanan, biasanya nilai xG mereka adalah sekitar 0.8 atau 0.9.”

“Jika kami berjaya mencatat xG 1.3 tetapi perlawanan berakhir 0-0, itu bermakna kami melakukan lebih baik daripada apa yang sepatutnya kami capai,” tambah beliau lagi.