Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebentar tadi menerusi presidennya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub meluahkan rasa penghargaan buat Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang bekerja keras dalam merevolusikan skuad bola sepak negara.

Usaha dalam mendapatkan deretan pemain warisan dilihat berada di landasan tepat selepas skuad Harimau Malaya menumpaskan Vietnam buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun.

Tambahan pula kemenangan itu hadir dengan sumbangan berkesan pemain-pemain tersebut bersama pemain sedia ada dalam merintis kemenangan besar 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu.

FAM
Tunku Mahkota Ismail bersama Joao Vitor Figueiredo. Kredit Foto: Malaysia NT

FAM Ucapkan Terima Kasih

“Sudah tentu kemenangan itu cukup istimewa kerana selepas 11 tahun menunggu akhirnya kita dapat mengalahkan Vietnam yang dianggap gergasi bola sepak di rantau Asia Tenggara ini,” ujar Datuk Mohd Joehari.

“Bagi mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif dan komitmen baginda dalam merevolusikan pasukan Harimau Malaya.”

“Junjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya.”

“Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini satu permulaan yang cukup positif buat pasukan Harimau Malaya dan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya.” tambah beliau lagi.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ketiga Bagi Penggal 2025-2029 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis, 12 Jun 2025.

Dalam masa sama, Datuk Mohd Joehari turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan pihak kerajaan atas bantuan khususnya dari segi kewangan bagi memperkasa pasukan kebangsaan.

“Peruntukan daripada Kerajaan Malaysia ini pastinya akan meningkatkan lagi motivasi buat para pemain pasukan kebangsaan bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.”

“Sekali lagi saya mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri atas sokongan penuh beliau buat pasukan Harimau Malaya,” jelasnya.

FAM
Kredit Foto: Malaysia NT

Selain itu, Datuk Mohd Joehari merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh penyokong Harimau Malaya termasuk Ultras Malaya yang kembali menggegarkan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Semangat inilah yang kita mahukan kerana dengan sokongan padu daripada mereka yang kita anggap sebagai ‘pemain ke-12’, pasukan Harimau Malaya mendapat suntikan semangat beraksi lebih baik,” ujar beliau lagi.

Sumber