Satu skandal besar tercetus dalam bola sepak Sepanyol apabila seorang presiden kelab didakwa bertindak menghina pemain Muslim kelabnya sendiri.

Ini menambah satu lagi kontroversi bola sepak Sepanyol ke atas mereka yang beragama Islam.

Sebelum ini peminat Sepanyol mempersendakan pemain pemain Mesir yang beragama Islam dengan nyanyian: “Siapa tidak melompat dia Muslim.”

Perkara tersebut turut dikecam oleh Lamine Yamal kerana dia juga beragama Islam. Walaupun ejekan itu ditujukan kepada pemain Mesir.

Terdapat beberapa insiden selepas itu di luar stadium, peminat beberapa kelab di Sepanyol menggunakan lagu yang sama untuk mempersenda agama Islam.

Terbaru, presiden kelab divisyen bawahan, CDC Moscardo, telah mengejar beberapa pemain Muslim sambil membawa daging babi (produk Iberico) dan menjerit supaya mereka memakannya.

Insiden itu dirakam dalam video dan dikongsi di media sosial sebelum dipadam, namun sempat mencetuskan kemarahan ramai pihak. Tindakan tersebut dianggap sebagai tidak sensitif, berunsur penghinaan agama dan bersifat rasis terhadap pemain Muslim.

Presiden kelab berkenaan, Javi Poves, kemudian mempertahankan dirinya dengan mendakwa ia hanyalah satu “gurauan” dan tidak berniat menghina mana-mana agama atau individu.

Ianya cuma lagak publisiti (publicity stunt). Namun, alasan itu tidak diterima baik oleh peminat dan pemerhati bola sepak.

“Ianya cuma gurauan sahaja, saya tidak berniat untuk menyinggung sesiapa,” katanya.

Kontroversi ini menambah lagi tekanan terhadap bola sepak Sepanyol yang sebelum ini sudah pun dikritik susulan beberapa insiden perkauman lain.

Javi Poves kemudian dilaporkan telah melepaskan jawatannya selepas dikecam teruk. Dia sempat membuat permohonan maaf: “Saya minta maaf kepada mana mana pihak yang tersinggung.

“Namun saya rasa kamu berada di landasan yang salah, menilai niat di sebalik tindakan saya,” katanya yang menganggap tindakannya cuma untuk mencetuskan sensasi untuk tujuan promosi penaja kelab mereka.

Ini bukan pertama kali dia menceuskan kontroversi. Sebelum ini, sebaik sahaja dia bergelar presiden sebuah lagi kelab, Mostoles Balompie, dia menukarkan nama kelab itu menjadi Flat Earth FC.

Ketika pandemik, dia menggunakan akaun media sosial rasmi kelab menyatakan bahawa dia menentang vaksin.

RFEF dilaporkan sedang menyiasat insiden melibatkan Javi Poves yang dianggap boleh mencetuskan jenayah kebencian ke atas individu beragama Islam. Dan RFEF sedia mengambil tindakan paling berat ke atasnya.