Presiden LaLiga, Javier Tebas tidak bimbang dengan masalah kewangan yang sedang dihadapi kelab gergasi saingan tersebut, Barcelona.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Barcelona sentiasa terpalit dengan masalah kewangan dimana pada 2022, The Blaugrana telah menjual 24.5 peratus pegangan saham syarikat pengeluaran milik pasukan kepada Orpheus Media dengan harga €100 juta bagi memenuhi keperluan kewangan LaLiga.
Baca Juga:
- Status ‘Legenda Barcelona’ Dani Alves Dilucutkan
- Bekas Bintang Barcelona Dijatuhkan Hukuman Penjara Kerana Merogol
- Messi Disarankan Ganti Tempat Xavi Sebagai Pengurus Barcelona
Berikutan keadaan tersebut, ada yang mengatakan bahawa Barcelona pada ketika ini sedang menuju untuk menjadi pasukan tier kedua dan tidak lagi sebaris gergasi Eropah.
“Itu tidak akan terjadi, Barcelona akan mengatasi situasi yang sedang berlaku ini,” ujar Tebas menurut sumber laporan Bein Sports.
“Mereka mempunyai pilihan untuk dipertimbangkan apabila pemimpin mereka memutuskan untuk berbuat demikian, jika mereka percaya mereka akan mendapatkan penyelesaian.”
“Mereka ada dua atau tiga pemain yang berada di tahap tertinggi yang boleh mereka jual. Dengan menjual pemain-pemain ini, mereka boleh menyelesaikan sebahagian besar masalah.”
“Dengan pendapatan itu,, mereka boleh menjana wang yang cukup untuk membayar hutang dan juga membayar gaji pemain.”
“Barcelona merupakan sebuah kelab yang memperoleh pendapatan hampir satu bilion. Sudah tentu mereka tidak akan menjadi pasukan tier kedua.”
“Sejauh yang saya tahu, Barcelona masih belum tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah dan masih boleh memenangi Liga Sepanyol.”
“Jadi ia bukanlah satu malapetaka buat Barcelona,” tambah Javier Tebas lagi.