Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), Thana Chaiyaprasit telah mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai tanggungjawabnya atas prestasi kurang baik dalam acara lelaki di Sukan SEA 2025.

Thailand menerima nasib malang di laman sendiri selepas gagal meraih sebarang pingat emas dalam acara regu berpasukan, regu dan kuadran lelaki.

Kegagalan skuad lelaki meraih pingat emas dalam acara-acara dinyatakan adalah satu keputusan yang dianggap antara prestasi paling memalukan dalam sejarah sepak takraw negara itu.

Kegagalan Thailand Paksa Thana Berundur

Perkembangan terkini mengenai pengunduran Thana itu disahkan menerusi sumber laporan Thairath Online.

“Pada Sukan SEA ke-33 yang dianjurkan oleh Thailand, khususnya dalam acara sepak takraw lelaki di mana pasukan negara tewas dalam semua kategori buat pertama kali dalam tempoh 34 tahun.”

“Perkara ini telah menimbulkan kekecewaan dalam kalangan orang ramai dan peminat sukan,” ujar Thana.

“Walaupun sepak takraw mempunyai sejarah kejayaan yang panjang, saya menerima tanggungjawab sepenuhnya dan meletakkan jawatan sebagai presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand bagi membolehkan persatuan meneruskan proses pemilihan barisan kepimpinan baharu mengikut perlembagaan.”

Pasukan lelaki kehilangan pingat emas buat pertama kali dalam tempoh 34 tahun selepas tewas 1-2 kepada Malaysia dalam perlawanan akhir.

Manakala, pasukan regu tewas kepada Vietnam dan tersingkir di peringkat separuh akhir. Pasukan kuadran pula meraih pingat gangsa selepas tewas 1-2 kepada Vietnam di separuh akhir.