Genting Malaysia Bhd telah mengesahkan bahawa syarikat itu akan mula mengenakan caj kepada kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands.
Tarikh mula pengecasan caj tol itu yang akan diumumkan tidak lama lagi, petik Free Malaysia Today.
Baca Juga:
Menurut syarikat tersebut, bayaran itu diperlukan berikutan kos penyelenggaraan jalan persendirian sepanjang 24 kilometer yang semakin meningkat, dan yang selama ini ditanggung sepenuhnya oleh Genting Malaysia sejak tahun 1960-an.
Jalan Genting Highlands, yang dibina secara persendirian oleh Genting Malaysia di kawasan pergunungan, menyediakan laluan yang selamat ke Resorts World Genting serta destinasi lain di kawasan pergunungan di luar kawasan milik Genting Malaysia.
“Penggunaan Jalan Genting Highlands yang sangat tinggi telah menyebabkan kerosakan yang ketara dan memerlukan kerja penyelenggaraan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya,” lapor Bernama memetik kenyataan syarikat itu.
Genting Malaysia menjelaskan bahawa caj tersebut merupakan langkah paling mampan berdasarkan prinsip ‘pengguna membayar’, bagi menampung kos penyelenggaraan, pembaikan, penjagaan, serta kejadian luar jangka yang mungkin berlaku.
Memetik laporan itu lagi, syarikat itu menegaskan bahawa caj berkenaan merupakan inisiatif persendirian bagi jalan persendirian yang terletak di atas tanah milik persendirian.
“Genting Malaysia mengambil tanggungjawab dalam memastikan keselamatan jalan serta cerun dengan serius.
“Kerja-kerja di kawasan pergunungan adalah mencabar, berisiko tinggi dan mahal, namun amat penting bagi menjamin keselamatan jalan dan cerun untuk semua pengguna,” katanya.
Genting Malaysia turut memaklumkan bahawa ia menempatkan pasukan di seluruh kawasan berkenaan yang bersiap siaga 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bagi menghadapi sebarang kemungkinan, selain mempunyai pasukan tindak balas kecemasan terlatih sekiranya berlaku kejadian atau kemalangan.
