Kesan daripada perlawanan derbi Manchester yang mencetuskan kontroversi terus berlanjutan apabila pegawai Pro Ref mengesahkan bahawa pasukan VAR yang bertanggungjawab mengesahkan gol kemenangan Erling Haaland telah digantung daripada tugasannya.

Pada perlawanan tersebut Manchester City meraih tiga mata penuh di Old Trafford menerusi jaringan Haaland, namun proses membuat keputusan di sebalik satu-satunya gol dalam perlawanan itu telah membawa kepada tindakan tatatertib yang tegas.

Pro Ref Buat Keputusan

Menurut sumber laporan Goal, Matt Donohue, pembantu pengadil video (VAR) utama yang mengawasi proses sehingga gol kemenangan Haaland dalam derbi Manchester itu disahkan secara tidak tepat, tidak dipilih untuk bertugas dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada hujung minggu ini.

Selain itu beliau turut tidak akan terlibat dalam aksi Piala Carabao yang berlangsung pertengahan minggu ini.

Pembantu VAR, Blake Antrobus juga turut menerima nasib sama sekali gus menjadi satu langkah tatatertib yang signifikan oleh badan pengadil tersebut.

Selepas perlawanan tersebut, Pro Ref mengesahkan bahawa berlaku ‘kesilapan pertimbangan’ ketika semakan VAR bagi gol penentu dalam kemenangan Manchester City ke atas Manchester United.

Donohue, 37, sering ditugaskan di hab VAR musim ini, selepas sebelum ini mengendalikan semakan video ketika kemenangan Brighton pada aksi pembukaan musim menentang Aston Villa serta keputusan seri Newcastle dengan Bournemouth.

Keputusan untuk menggantung kedua-dua pegawai berkenaan dibuat secara langsung oleh ketua pegawai pengadil Pro Ref, Howard Webb bersama pasukan eksekutifnya, sekali gus memastikan kedua-dua mereka tidak akan terlibat dalam saingan Liga Perdana Inggeris sehingga selepas rehat antarabangsa yang akan datang.

Kemarahan tercetus susulan satu detik penting di Old Trafford apabila gol Haaland pada awalnya dibatalkan oleh pengadil di atas padang kerana ofsaid, dengan pemain Norway itu berada di hadapan Patrick Dorgu ketika Enzo Fernandez cuba menyambut hantaran silang dari posisi ofsaid.

Sumber