Gol kemenangan Erling Haaland ketika Manchester City menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi derbi Manchester akhirnya diakui sebagai satu kesilapan pengadilan.

Badan pengadil elit, Pro Ref, mengesahkan gol tersebut tidak sepatutnya diberikan selepas VAR gagal mengenal pasti bahawa Enzo Fernandez memberi impak terhadap permainan ketika serangan Manchester City.

Haaland meledak gol pada minit ke-60 di Old Trafford selepas hantaran lintang Josko Gvardiol terkena kaki Patrick Dorgu sebelum bola melintasi Fernández dan Lisandro Martínez.

Gol itu pada awalnya dibatalkan kerana Haaland berada dalam kedudukan ofsaid, namun semakan VAR mendapati penyerang Manchester City tersebut sebenarnya berada dalam kedudukan sah.

Bagaimanapun, perhatian kemudian terarah kepada kedudukan Fernández yang berada berhampiran bola dan turut dikelilingi pemain pertahanan United. VAR memutuskan pemain tengah City itu tidak mengganggu permainan, sekali gus mengesahkan jaringan Haaland.

Pro Ref bagaimanapun mengakui keputusan tersebut adalah satu kesilapan.

“Dalam serangan yang sama, telah dipastikan bahawa Fernandez tidak memainkan bola dan oleh itu sebarang kesalahan ofsaid menjadi perkara subjektif. Namun, dalam situasi ini, VAR gagal mengenal pasti kemungkinan kesan kedudukannya dan sepatutnya mencadangkan semakan di padang,” kata Pro Ref.

Badan tersebut turut memaklumkan bahawa mereka sudah menghubungi Manchester United bagi mengakui kesilapan pengadilan berkenaan dan insiden itu akan melalui proses semakan.

Sebelum pengakuan tersebut dibuat, Michael Carrick sudah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu.

Pengurus sementara Manchester United tersebut mengakui pada awalnya dia tidak melihat situasi berkenaan dengan jelas, tetapi penjelasan yang diterimanya daripada pegawai perlawanan membuatkannya semakin keliru.

“Pada ketika itu saya belum melihatnya sepenuhnya. Tetapi penjelasan yang saya terima ialah dia tidak mengganggu permainan, jadi saya memang tidak faham,” kata Carrick.

Carrick turut mempersoalkan bagaimana keputusan seperti itu boleh dibuat walaupun sudah terdapat begitu banyak lapisan dalam sistem pengadilan termasuk VAR.

“Saya tidak faham bagaimana mereka cuba membantu pengadil dengan meletakkan begitu banyak lapisan di belakang mereka, dengan begitu ramai orang, skrin dan pelbagai pejabat untuk cuba menghasilkan keputusan yang tepat,” katanya.

Menurut Carrick, jika tindakan Fernandez yang cuba mendapatkan bola berhampiran gawang tidak dianggap sebagai mengganggu permainan, keadaan itu amat membimbangkan.

“Jika itulah cara peraturan ditafsirkan, bahawa kamu tidak mengganggu permainan kerana kamu melompat ke arah bola enam ela dari gawang dan hampir menyentuhnya, sehingga Lisandro terpaksa bertindak balas terhadapnya, ia membimbangkan jika benar begitulah cara permainan ini dilihat oleh mereka yang mengadilinya,” katanya.

Apabila ditanya sama ada dia mengalu-alukan permohonan maaf daripada Pro Ref, Carrick menjawab secara sinis.

“Ya, itu memang bagus. Ya, saya tidak sabar menunggu yang itu,” katanya.

“Saya tidak tahu bagaimana kamu mahu mendapatkan penjelasan lain mengenai perkara itu. Saya rasa kita semua faham maksud peraturan berkaitan mengganggu permainan dan ia agak jelas. Ia sejelas yang boleh berlaku.”

Bagaimanapun, pengurus Manchester City, Enzo Maresca, mempunyai pandangan berbeza ketika ditanya mengenai kedudukan Fernandez.

“Ya, dan pegawai keempat mengatakan Erling berada dalam kedudukan ofsaid,” kata Maresca.

Derbi ke-199 antara kedua-dua kelab itu turut menyaksikan satu lagi keputusan kontroversi apabila Phil Foden dilayangkan kad merah pada minit ke-23.

Foden menendang bahagian perut Bruno Fernandes selepas kapten United itu terlebih dahulu melakukan tindakan terhadapnya.

Maresca mengakui kad merah terhadap Foden memang wajar diberikan, namun pada masa sama berpendapat Fernandes juga sepatutnya dibuang padang.

“Kad merah Phil Foden memang kad merah, tetapi saya juga fikir ia adalah kad merah untuk Bruno,” katanya.

“Selepas meneliti semula insiden itu, ia jelas kad merah untuk Phil kerana ia merupakan tindak balas, tetapi kamu juga boleh melihat tindakan Bruno.”

Manchester City akhirnya membawa pulang tiga mata hasil jaringan Haaland, manakala United terpaksa menerima kekalahan dalam derbi yang kini turut dibayangi pengakuan Pro Ref bahawa keputusan VAR terhadap gol tersebut adalah satu kesilapan.