Bintang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo dilaporkan bakal membuka sebuah kelab eksklusif untuk ahli di Madrid.
Ikon Portugal itu kini menghampiri penghujung kariernya dan kelihatan sedang membuat lebih banyak persiapan untuk kehidupan selepas bola sepak.
Baca Juga:
- Cristiano Ronaldo Terlepas Hukuman Berat, Hanya Digantung Satu Perlawanan

- Kekal Terhangat Di Pasaran, Cristiano Ronaldo Dinobat ‘Raja Pemasaran’ Dunia Bola Sepak Tahun 2025

- Ini Sebab Cristiano Ronaldo Pilih Untuk Tak Hadir Ke Pengebumian Diogo Jota

Bersama pelbagai perniagaan yang sudah dimilikinya, penyerang berusia 40 tahun itu bakal menceburi satu jenis usaha baharu pada akhir tahun ini.

Walaupun kini berusia 40 tahun, beliau masih produktif bersama Portugal dan Al-Nassr dalam Liga Pro Saudi. Namun, Cristiano Ronaldo juga sedar bahawa semua ini suatu hari nanti pasti akan berakhir.
Sehubungan dengan itu, pemenang lima kali ballon D’or itu sudah merancang sesuatu yang lebih besar dalam bidang perniagaan.
Projek Besar Cristiano Ronaldo
Menurut sumber laporan Goal, usahawan Inigo Onieva dan Mabel Hospitality, firma yang dimiliki Cristiano Ronaldo bersama ahli perniagaan Manuel Campos Guallar telah melancarkan Vega Private Members Club.
Laporan itu menyatakan kelab ini akan “mentakrif semula” cara bersosial dan berurus niaga di Madrid dengan pembukaan dijadualkan sebelum penghujung tahun di 88 Lagasca Street di tengah-tengah Golden Mile.
Ruang seluas 1,000 meter persegi itu akan melarang penggunaan telefon bimbit dan mengambil gambar dan akan digunakan pada waktu siang untuk mesyuarat, pejabat peribadi, ruang kerja bersama, serta studio podcast.
Pada waktu malam, ruang ini akan berubah menjadi pusat sosial dengan makan malam eksklusif dan bar khusus.
Kelab ini akan mempunyai tiga ruang untuk menampung aktiviti pada waktu berbeza: Casa Vega (bistro kontemporari), Vega Restaurant dan Toto (restoran Itali).

Terdapat juga kelab wain yang menawarkan pengalaman peribadi dengan cava dan wain.
Bagaimanapun, kelab ini tidak murah. Keahlian paling eksklusif, iaitu “founders’ membership”, hanya boleh diperoleh melalui jemputan dan memerlukan bayaran sekali sahaja sebanyak €15,000.
Keahlian ini memberi akses seumur hidup, tempahan keutamaan, dan pengalaman yang disesuaikan. Tawaran yang lebih murah boleh didapati dari €2,400 setahun, ditambah bayaran permulaan €2,000.