Lagi beberapa hari kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15. Pemilihan kali ini akan membuka ruang baharu buat rakyat Malaysia memilih siapakah wakil mereka dalam membawa isu-isu kelangsungan hidup di negara ini.
PRU15 yang akan berlangsung beberapa hari lagi dan ia sudah dihujani dengan pelbagai soalan dan peringatan untuk para mengundi mengunakan hak mereka memilih pemimpin yang tepat.
Baca Juga:
- PRU15: Ini Sebab Kenapa 70 Profesor Melayu Sokong Anwar Ibrahim Jadi PM
- PRU15: Bersaksikan Orang Sungai Buloh, Khairy Nyatakan Hasrat Mahu Jadi Perdana Menteri, Presiden UMNO
- PRU15: BN Jawab Dakwaan Surat Akujanji Calon UMNO ‘Wajib’ Angkat Zahid Hamidi Sebagai PM
Terbaharu, sebuah firma digital, C27 yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘pemberontak dengan sebab’ mempunyai cara yang lain daripada yang lain dalam memberi kesedaran kepada para pengundi siapakah calon yang bakal diundi oleh mereka.
Kumpulan ini telah menerbitkan sebuah laman e-dagang, voteordie yang mengetengahkan barangan mewah yang dipakai oleh para ahli politik.
Sebagai contoh, di laman sesawang mereka dimasukkan produk jam tangan Hublot Big Bang Black Magic dalam Black Ceramic. Ianya dijual pada harga RM111,247.99, dan didakwa dipakai oleh Najib Razak.
Selain itu, baju Burberry White Horseferry dengan harga RM2,400 kononnya dipakai oleh Ismail Sabri dan jam tangan bernilai RM1,000,000 jenama Richard Mille Felipe Massa Rose Gold yang didakwa dipakai oleh Annuar Musa.
Senarai ini bukan sahaja bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengundi, tetapi juga mendidik para pengundi untuk memilih dengan tepat siapakah pemimpin yang bakal membawa suara mereka di parlimen kelak.
Selain itu, kaedah Voteordie ini juga memberi satu pandangan kepada para pengundi bagaimana jurang antara golongan elit politik yang kaya dan para pengundi yang sebahagiannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
C27 di laman Instagram mereka menyatakan bahawa, “Agensi tidak boleh mengundi, tetapi kami juga tidak boleh berdiam diri, jadi kami melancarkan voteordie.shop.”
Kewujudan laman web e-dagang tersebut sebenarnya tidak berfungsi untuk urusan jual beli. Jika anda menekan salah satu produk dan ‘tambah ke troli,’ anda akan dibawa ke salah satu halaman yang menerangkan kenapa laman sesawang ini diwujudkan dan mengapa pentingkan pendidikan politik dalam memilih calon yang sesuai untuk membawa suara pengundi.