Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) tampil mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menegaskan sokongan berterusan mereka terhadap Presiden FIFA, Gianni Infantino di sebalik pelbagai kritikan yang dilemparkan terhadap badan induk bola sepak dunia itu sejak kebelakangan ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Instagram milik presiden Erick Thohir, badan induk bola sepak Indoneisa itu menyifatkan kepimpinan Infantino telah membawa impak positif kepada pembangunan bola sepak Indonesia selain membantu memperkukuhkan hubungan antara Persatuan Ahli FIFA di seluruh dunia.

PSSI Pertahan Infantino & FIFA

“Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia menghargai komitmen berterusan Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam memupuk perpaduan dalam komuniti bola sepak global, memajukan pembangunan bola sepak serta memperkukuh semua Persatuan Ahli FIFA.”

PSSI turut menjelaskan bahawa Indonesia sendiri telah menyaksikan kesan positif hasil pelbagai inisiatif yang diperkenalkan FIFA di bawah kepimpinan Infantino.

“Indonesia telah merasai sendiri impak positif daripada pelbagai inisiatif FIFA di bawah kepimpinan beliau. Inisiatif FIFA di Indonesia telah menterjemahkan misi global FIFA kepada kemajuan dan pembangunan sebenar dalam bola sepak Indonesia.”

Menurut PSSI lagi, rekod pencapaian itu menjadi asas kepada sokongan yang terus diberikan kepada Infantino dan FIFA sebagai sebuah organisasi yang berkhidmat untuk semua ahlinya.

“Rekod pencapaian ini, serta kepercayaan yang telah dibina, menjadi asas kepada sokongan berterusan PSSI terhadap Presiden Infantino dan terhadap FIFA yang kekal, pertama sekali, sebagai sebuah institusi yang berkhidmat untuk semua Persatuan Ahlinya.”

Pada masa sama, badan induk bola sepak Indonesia itu menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan FIFA dan semua Persatuan Ahli demi memajukan pembangunan bola sepak di peringkat global.

“PSSI berharap dapat meneruskan kerjasama secara konstruktif bersama FIFA dan semua Persatuan Ahli bagi memajukan pembangunan bola sepak di seluruh dunia.”

Kenyataan itu dilihat sebagai pendirian jelas PSSI yang terus berdiri di belakang Gianni Infantino ketika beberapa konfederasi dan persatuan bola sepak sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap aspek tadbir urus serta proses membuat keputusan dalam FIFA.

Sumber