Data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kos sara hidup isi rumah di peringkat nasional terus meningkat.

Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) dilaporkan melonjak kepada 105.1 mata pada tahun 2024, berbanding 103.1 mata pada tahun sebelumnya.

Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kos sara hidup tertinggi dengan 106.3 mata, diikuti Kuala Lumpur (106.1 mata) dan Selangor (105.4 mata).

Sebaliknya, Kelantan dan Kedah kekal sebagai negeri dengan kos sara hidup terendah, petik Berita Harian.

Kadar Belanja Melebihi Pertumbuhan Pendapatan

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menjelaskan bahawa berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES 2024), pertumbuhan perbelanjaan purata rakyat (3.9% setahun) sedikit mengatasi kadar pertumbuhan pendapatan purata (3.8% setahun).

Trend kenaikan harga barangan dan perkhidmatan asas ini memberikan tekanan langsung kepada golongan berpendapatan rendah, termasuk fenomena golongan bekerja tetapi masih miskin (working poor).

Kesan ini turut dicerminkan melalui peningkatan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional kepada RM2,705, serta purata Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang kini mencecah RM4,846 sebulan—dengan kos di kawasan bandar jauh lebih tinggi (RM5,169) berbanding luar bandar (RM3,712).

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh manakah kerajaan telah menjalankan kajian longitudinal mengenai jurang antara pertumbuhan pendapatan sebenar isi rumah dengan peningkatan kos sara hidup sejak tahun 2018, serta apakah intervensi berstruktur yang dirancang bagi menangani fenomena golongan bekerja tetapi masih miskin (working poor) yang semakin meningkat.

Intervensi Berstruktur di Bawah RMK13 dan Belanjawan 2026

Bagi menangani isu ini secara tuntas, kerajaan menggariskan strategi serampang dua mata dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memfokuskan kepada peningkatan pendapatan rakyat dan pembendungan kos sara hidup melalui pelan jangka pendek serta jangka panjang:

Inisiatif Jangka Pendek (Belanjawan 2026):

1. Peruntukan melebihi RM15 bilion untuk bantuan tunai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

2. RM3.1 bilion dana kebajikan (JKM) untuk golongan miskin, OKU, dan warga emas.

3. RM600 juta untuk Inisiatif Payung RAHMAH serta RM67 juta bagi program penyeragaman harga di Sabah, Sarawak, dan Labuan.

4. Pelaksanaan subsidi bersasar (bahan api dan utiliti) berpandukan pangkalan data PADU, di samping penguatkuasaan ketat rantaian bekalan bagi mencegah pencatutan.

Strategi Jangka Sederhana & Panjang:

1. Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan peningkatan Perintah Gaji Minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700.

2. Pemerkasaan pasaran kerja melalui penciptaan peluang pekerjaan berkualiti, pengukuhan kemahiran tenaga kerja, dan reformasi struktur pendidikan negara.

Langkah komprehensif ini diharap dapat mengurangkan jurang ekonomi dan memastikan perlindungan sosial yang lebih adil bagi seluruh lapisan masyarakat.

Sumber