Malam ini skuad Harimau Malaya berdepan tugas sukar apabila bakal menghadapi perlawanan pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang pasukan ranking 97 dunia, Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kekalahan 0-2 kepada Tajikistan ketika saingan Pestabola Merdeka bulan lepas telah memberikan pengajaran berguna kepada ketua jurulatih, Kim Pan Gon yang dijangka akan melakukan perubahan dari segi taktikal serta barisan pemain.

Baca Juga:

Sebarang keputusan untuk perlawanan ini penting kerana ia memberikan pulangan mata ranking FIFA yang lebih banyak daripada aksi persahabatan antarabangsa sekaligus berpeluang mendaki dalam kelompok ranking 120 dunia.

Berikut ialah ramalan kesebelasan utama skuad Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan:

(Formasi: 4-3-3)

Kim Pan Gon kemungkinan akan mengekalkan formasi yang sama digunakan ketika saingan Pesta Bola Merdeka iaitu 4-3-3 dan ia juga akan berubah kepada 5-3-2 untuk bertahan.

Kehadiran tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail memberikan pilihan tambahan kepada Kim Pan Gon untuk membentuk jentera tengah yang mantap berganding dengan Endrick Dos Santos dan Brendan Gan.

Khidmat Afiq mungkin ditagih untuk memainkan dua peranan sebagai arkitek pasukan dan tengah bertahan (defensive midfielder) bagi membantu mengekang kemaraan jentera serangan Kyrgyzstan.

Shahrul Saad yang sudah pulih daripada kecederaan dijangka akan kembali mengisi posisi pertahanan tengah berganding dengan tonggak Buriram United, Dion Cools.

Posisi pertahanan kanan dan kiri bakal menjadi milik Corbin Ong dan Matthew Davies yang memiliki minit permainan yang banyak dalam perlawanan domestik serta antarabangsa bersama JDT.

Di bahagian serangan, Kim Pan Gon dijangka menyenaraikan Darren Lok sebagai ‘target man’ sambil dibantu oleh dua pemain sayap prolifik iaitu Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.

Adakah skuad Harimau Malaya akan melakar kejutan malam ini? Sama-sama kita saksikan.