Lebih 100 syarikat dipercayai didalangi warga Bangladesh dikesan beroperasi di negara ini untuk membawa masuk rakyat dari negara Asia Selatan itu, meskipun tiada permintaan daripada majikan di Malaysia.

Syarikat berkenaan tidak berfungsi seperti firma perniagaan biasa, sebaliknya didakwa hanya diuruskan runner rakyat negara itu di sini.

Baca Juga:

Modus operandi syarikat adalah menggunakan rakyat Malaysia sebagai pemegang saham utama, dengan warga Bangladesh hanya memegang 49 peratus sahamnya.

Ada antara mereka mendaftarkan perniagaan syarikat atas nama isteri rakyat tempatan yang dikahwini selepas beberapa tahun menetap di negara ini.

Syarikat ini dikatakan menjadi ejen mencari majikan tempatan yang memerlukan pekerja atau mengupah majikan untuk memohon pekerja asing dari Bangladesh yang dikatakan punca kebanjiran sehingga lebih 500,000 warga asing masuk tanpa pekerjaan.

Perkara ini dimaklumkan oleh Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (PUSMA), Zarina Ismail, berkata pihaknya dan beberapa agensi pekerjaan lain mengesan kewujudan banyak ‘syarikat asing’ seperti itu sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

“Kami sudah membawa perkara itu kepada perhatian Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada Disember tahun lalu, memandangkan terlalu ramai pekerja dari Bangladesh memasuki negara sejak selepas pandemik COVID-19.

“Kewujudan syarikat ini sangat membimbangkan kerana disyaki bertanggungjawab menyebabkan kepincangan dalam pengambilan pekerja dari Bangladesh. Ia juga menjadi persoalan, kenapa syarikat berkenaan boleh wujud dan menjalankan perniagaan secara terbuka.

“Atas kertas mereka ini (rakyat Bangladesh) mempunyai 49 peratus saham syarikat, tetapi sebenarnya merekalah pemilik sebenar syarikat itu. Rakyat kita menjadi pengarah dan pemilik saham terbesar hanya ‘wayang’ untuk kabur mata pihak berkuasa.

“Syarikat ini adalah ejen yang membawa masuk rakyat Bangladesh ke Malaysia kerana mereka tahu ‘jalan mudah’ untuk membuat duit menggunakan kepincangan dalam sistem di negara ini,” katanya lagi.

Sumber